Seorang lelaki tanpa identiti ditemui maut di hadapan pintu masuk ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah cawangan bank di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima maklumat orang awam berhubung seorang lelaki ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 7.29 pagi.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian mendapati mangsa yang berusia sekitar 50 ke 60-an itu berbaring di hadapan pintu masuk ke ruang mesin ATM dipercayai dalam keadaan mabuk pada jam 11.48 malam, semalam.

"Pada 12.01 tengah malam, pintu 'shutter' (gelangsar) ruang mesin ATM itu tertutup secara automatik menyebabkan leher mangsa tersepit antara pintu shutter dan lantai sebelum ia terbuka (secara automatik) semula pada jam 6 pagi.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata, pemeriksaan ke atas badan si mati mendapati tiada kecederaan lain.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati mangsa tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini.

"Siasatan dijalankan sebagai kematian mengejut (Sudden Death Report) dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Shahrul di talian 012-3630512," katanya.

Terdahulu tular beberapa gambar yang memaparkan seorang lelaki dipercayai sudah meninggal dunia terbaring di hadapan sebuah bank di Kota Kemuning.

Sumber: BH Online, Malaysia Gazette