Lelaki Hilang Kaki Selepas Rawatan Akupunktur
Seorang lelaki berusia 47 tahun di Hong Kong terpaksa menjalani pembedahan amputasi kaki selepas dijangkiti bakteria 'pemakan daging' yang dipercayai berpunca daripada rawatan akupunktur.
Lelaki tersebut, yang mempunyai sejarah penyakit, pada mulanya mendapatkan rawatan akupunktur bagi mengurangkan kesakitan belakang selepas cedera ketika mengangkat barang berat pada 6 April lalu.
Namun, pada 11 April, lelaki itu mula mengalami demam dan kesakitan teruk di paha kiri, lalu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta. Doktor mengesahkan beliau menghidap kejutan septik dan nekrotising fasciitis, iaitu jangkitan yang cepat merebak dan boleh memakan tisu tubuh.
Lelaki itu kemudian dipindahkan ke Hospital Queen Mary keesokan harinya.
Beliau menjalani pembedahan amputasi bawah lutut kiri pada 13 April dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital.
Pihak berkuasa kesihatan mengesahkan jangkitan tersebut disebabkan oleh bakteria Streptococcus Kumpulan A, iaitu bakteria biasa yang lazimnya ditemui di tekak dan kulit.
Biasanya, bakteria itu hanya menyebabkan penyakit ringan seperti sakit tekak atau jangkitan kulit, namun dalam kes tertentu boleh menyebabkan keadaan serius seperti nekrotising fasciitis, seperti yang dialami pesakit ini.
Jabatan Kesihatan Hong Kong telah menjalankan siasatan terhadap sumber jangkitan dengan mengambil sampel persekitaran daripada dua klinik akupunktur yang dikunjungi lelaki itu.
Salah satu klinik yang terletak di Causeway Bay dikesan mengandungi Streptococcus Kumpulan A, dan ujian genetik mengesahkan bakteria tersebut sepadan dengan strain yang terdapat pada pesakit.
Pihak berkuasa mengesyaki klinik berkenaan mungkin tidak mematuhi langkah kawalan jangkitan yang sepatutnya semasa prosedur rawatan, walaupun siasatan masih diteruskan.
Mereka turut memaklumkan bahawa lelaki berkenaan mempunyai masalah kesihatan sedia ada yang menyebabkan beliau lebih terdedah kepada jangkitan.
Namun begitu, tiada individu lain yang terdedah kepada bakteria sama menunjukkan sebarang simptom setakat ini.
Jabatan Kesihatan turut menasihati orang ramai agar tidak panik dan terus menggunakan perkhidmatan akupunktur, sambil mengingatkan kepentingan memilih pengamal berlesen yang mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan.
Sumber: Sinar Harian