HIBURAN
Madu Nora Ariffin Akhirnya Bersuara, Nafi Dakwaan Paksa Suami Ceraikan Isteri Kedua - “Selama Ini Saya Memilih Untuk Berdiam Diri…”
Madu kepada Datuk Nora Ariffin yang dikenali sebagai Rose Aliza tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan dia memaksa suaminya untuk menceraikan penyanyi itu.
Jaga maruah suami
Lama mendiakan diri, Rose Aliza bagaimanapun menegaskan dia tidak pernah memaksa suaminya seperti yang didakwa namun mengakui mesej yang disebarkan itu dihantar olehnya pada 2019.
“Sejujurnya, selama ini saya memilih untuk berdiam diri ketika diri saya diperkatakan secara salah di media sosial kerana tidak mahu membuka aib sesiapa. Saya juga mahu menjaga maruah suami dan nama baik madu saya.
“Namun, apabila keluar kenyataan di media sosial bahawa saya dan anak telah memaksa suami menceraikan madu saya, ditambah pula dengan hantaran tulisan lama saya kepada madu yang pernah saya coretkan pada tahun 2019 dulu - saat saya baru mengetahui tentang pernikahan mereka yang telah setahun berlangsung tanpa pengetahuan saya - dimuat naik untuk memburukkan saya, maka dengan berat hati saya tampil menjelaskan perkara sebenar,” katanya.
Selain itu, Rose Aliza turut menjelaskan beberapa perkara yang melibatkan dirinya dan anaknya, Alia.
Coretan 2019
- Sebagai seorang pengetua, saya sedar kedudukan saya diperhatikan oleh guru-guru, murid-murid serta ibu bapa di sekolah saya. Begitu juga, saya mempunyai ibu bapa, adik beradik, sanak saudara dan sahabat handai yang tentunya tertanya-tanya dengan segala dakwaan yang ditimbulkan oleh madu saya. Justeru, tulisan ini saya coretkan semata-mata untuk menjernihkan keadaan dan menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku, agar saya dan keluarga tidak terus dihukum atas fitnah yang disebarkan. Tiada sedikit pun niat di hati saya untuk membuka aib sesiapa.
Saat mengetahui suami kahwin secara senyap
- Perlu saya jelaskan di sini, tulisan-tulisan saya yang dimuat naik oleh madu saya itu sebenarnya adalah luahan saya ketika berdepan satu situasi yang amat tidak saya duga – iaitu saat saya mengetahui suami saya telah berkahwin secara senyap-senyap tanpa pengetahuan saya. Sudah tentu sebagai seorang isteri, saya terkejut dan kecewa pada masa itu. Lebih-lebih lagi pada waktu yang sama, ada seorang insan yang sangat rapat dengan suami saya – yang tidak perlulah saya sebutkan namanya kerana insan ini sudah tiada di dunia, telah merayu dan memohon agar suami saya menceraikan madu saya. Hal ini dilakukannya atas sebab-sebab tertentu dan bersandarkan pengalaman hidupnya sendiri sebagai anak dalam keluarga yang berpoligami. Akhirnya suami saya akur dengan permintaan insan tersebut (Perkara ini dalam pengetahuan dan makluman madu saya) dan telah melafazkan talak di hadapan madu dan anak-anaknya termasuk arwah Alif serta dirakamkan atas permintaan insan tersebut. Kejadian berlaku pada tahun 2019. Tidak adapun panggilan telefon daripada saya atau sesiapa selepas subuh yang memaksa suami saya untuk menceraikannya seperti yang didakwa dalam media sosial. (Malangnya video yang sepatutnya disimpan telah dimuat naik pada 12 Ogos 2024)
Anak tak pernah paksa ceraikan Nora
- Di sini, saya ingin semua tahu dan faham bahawa saya atau anak saya, Alia tidak pernah memaksa suami saya menceraikan madu saya. Keputusan yang dibuat ketika itu adalah atas pertimbangan dan kehendak suami sendiri setelah melalui apa yang berlaku. Tulisan yang dimuat naik oleh madu saya itu hanyalah luahan lama saya, ditulis dalam keadaan emosi dan perasaan yang sangat terguris ketika baru mengetahui tentang perkahwinan mereka yang disembunyikan.
Permohonan maaf terhadap Nora
- Namun, saya juga sedar sebagai manusia biasa, saya tidak lari dari khilaf. Atas kesedaran itu, saya telah pun membuat permohonan maaf kepada madu saya secara peribadi melalui pesanan whatsapp pada 1 Ogos 2021. Segala yang berlaku antara kami ketika itu saya anggap sudah selesai secara baik. Dalam permohonan maaf itu, saya tulis dengan jelas tentang harapan saya agar segala sakit hati dan dendam terhadap saya dengan asbab tulisan itu akan terpadam sepenuhnya dan tidak diungkit-ungkit lagi kerana saya sudahpun menerima keadaan saya yang bermadu dan tidak lagi berdoa atau berharap mereka akan berpisah.
Rasa jengkel & kecewa seorang anak
- Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk membersihkan nama baik anak saya, Alia. Saya tidak nafikan bahawa tulisannya kepada madu saya yang ditulis pada tahun 2020 agak keterlaluan. Hakikatnya, tulisan itu lahir daripada rasa jengkel dan kecewa seorang anak yang masih kurang matang apabila mengetahui ayahnya telah berkahwin lagi tanpa pengetahuan kami sekeluarga.
Mohon maaf pada September 2020
- Tulisan itu sebenarnya telah lama dipadam dan Alia sendiri, dengan penuh kesedaran dan keinsafan bahawa tulisan sedemikian adalah tidak baik. Seterusnya, Alia telah memohon maaf secara peribadi kepada madu saya pada bulan September 2020. Namun, amat saya kesali apabila tulisan lama yang telahpun dipadam itu dikitar semula oleh madu saya pada tahun 2025, lalu dibiarkan menjadi bahan spekulasi sehingga mencetuskan persepsi buruk seolah-olah anak saya seorang yang jahat dan tidak beradab.
- Sebagai seorang ibu, saya bertanggungjawab mempertahankan maruah anak saya daripada terus diburukkan atas kesilapan masa lalunya yang telahpun disesali dan dibaiki.
Bukan untuk balas dendam
- Akhir kata, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa saya menulis bukan untuk membalas dendam, jauh sekali untuk mengeruhkan keadaan. Saya hanya mahu menjelaskan apa yang berlaku agar tidak timbul lagi salah faham dan fitnah yang berpanjangan terhadap diri saya, anak-anak serta keluarga saya. Saya amat yakin dengan ketentuan Allah dalam setiap yang berlaku dan saya juga sedar saya bukanlah seorang yang maksum. Kepada Allah, saya memohon ampun atas segala keburukan dan kekurangan saya. Semoga Allah melembutkan hati-hati kita untuk terus beribadat di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, memberi kita kekuatan untuk melalui segala ujian hidup ini dengan tenang dan redha. Wallahu A’lam. Barakallahu lakum walana.
Must-Watch Video