Magic diperkenalkan di Malaysia sebagai salah satu saluran baharu di bawah saluran Disney Channel Asia Tenggara di mana sebuah rancangan televisyen bersiri bertajuk 'Wizards of Warna Walk' akan disiarkan.

Ia merupakan sebuah sitkom fantasi yang memaparkan kehidupan sebuah keluarga Malaysia unik dan tinggal di bandar yang sibuk, Kuala Lumpur.

Rancangan televisyen bersiri ini berfokuskan tentang keluarga D'Cruz- tiga orang penyihir dengan kebolehan ajaib, Amelia dan adik-beradiknya, Alissa dan Aiden, bapa serta bekas penyihir Norman, dan ibu Jasmin.

Keluarga ini menjalankan perniagaan sebuah kedai kopitiam Peranakan bernama Little Nyonyum yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur.

Ketika ketiga-tiga beradik tersebut mengimbangi kehidupan mereka sebagai kanak-kanak biasa di sekolah dan penyihir pelatih di rumah, keluarga D'Cruz tidak dapat lari daripada pelbagai situasi lucu, dan menyeronokkan yang pasti akan menghiburkan kanak-kanak dan keluarga lain.

Mengetuai barisan pelakon berbakat Malaysia ialah seorang pelakon baru yang berusia 13 tahun, Emma Sofea. Beliau memainkan watak Amelia D'Cruz.

Selain Emma, sitkom ini turut dibintangi oleh Mia Sara yang memainkan watak Alissa D'Cruz, Idan Aeden sebagai Aiden D'Cruz , pelawak, penerbit dan pelakon Datuk Afdlin Shauki yang memegang watak Norman D'Cruz dan pelakon Carmen Soo sebagai Jasmin D'Cruz.



Di samping itu, penampilan personaliti tempatan yang popular seperti pelakon Zalif Sadek, Fikhree Bakar, Vicha Barbie, dan penyanyi Zain Hamid turut ada sepanjang musim rancangan ini ditayangkan.

Rancangan televisyen bersiri ini mempunyai elemen muzik tempatan, termasuk lagu tema 'There's Magic Here' yang dinyanyikan oleh penyanyi terkenal, Daiyan Trisha.

Video muzik akan mula disiarkan menerusi saluran Disney bermula hari ini, 16 Ogos, serta boleh ditonton di seluruh platform media sosial.

'Wizards of Color Walk' akan disiarkan pada setiap hari Jumaat, 30 Ogos, jam 1.00 petang di saluran Disney (Astro CH 615) dan juga boleh ditonton menerusi Astro GO dan On Demand.

Pelanggan Astro juga boleh menonton 'Wizards of Warna Walk' secara eksklusif menerusi saluran Disney XD (Astro Ch 617).