Kes memiliki dadah melibatkan pelakon, Niezam Zaidi bersama dua lagi individu yang merupakan pengarah dan penolong pengarah akan disebut semula Januari depan.

Memetik laporan Sinar Harian, Majistret Mahkamah Kuala Kangsar, Mohd Shazmeer Zamhari hari ini telah menetapkan 10 Januari 2022 sebagai tarikh sebutan semula selepas pihak pendakwaan memohon satu tarikh baru untuk tujuan serahan laporan kimia.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi, pihaknya memberitahu mahkamah memerlukan masa dalam tempoh sebulan untuk penyediaan laporan kimia berkenaan.

Dalam prosiding tersebut, ketiga-tiga mereka iaitu Niezam atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 29, pengarah Mohd Latiff Zami, 49 dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 47 hadir ke mahkamah.

Mereka dilaporkan tiba di mahkamah pada jam 9 pagi.

Terdahulu pada 12 Oktober, mereka bertiga mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan di mahkamah sama.

Niezam mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.15 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, sekitar jam 7.15 pagi pada 10 Oktober 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin juga mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 0.30 gram dadah jenis kanabis dan 0.38 gram dadah jenis methamphetamine di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan tersebut, Mohd Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952, dan Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Saiful Zaidrin boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya sekali.

Dalam pada itu, mahkamah turut membenarkan Nizam diikat jamin RM3,000 manakala Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing diikat jamin RM2,600 dan RM3,000.

10 Oktober lalu, ketiga mereka ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dengan dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar yang bertindak atas maklumat pada jam 7.15 pagi.

Berdasarkan pemeriksaan di tiga bilik, pihak berkuasa menemui dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270.

Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati semua mereka positif dadah manakala seorang daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan dadah.

Sumber & Kredit Foto: Sinar Harian