Malaysia akan terus menggunakan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca kerana insiden membabitkan vaksin itu jarang berlaku.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, manfaatnya juga melebihi risiko seperti yang dilaporkan di luar negara.

Walaubagaimanapun, beliau berkata, Malaysia perlu lebih berhati-hati dengan penggunaan vaksin itu kerana insiden darah beku dan kematian dilaporkan berlaku di banyak negara.

"Kami akan meneruskannya, kami tidak mempunyai alasan untuk menghentikannya.

“Seperti yang telah saya katakan, kita melihat manfaatnya melebihi risiko," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang melihat kaedah terbaik untuk menjalin kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan lain bagi memperkasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di kawasan luar bandar.

“Kita juga akan melihat daripada segi logistik dan apakah vaksin yang terbaik untuk digunakan.

“Sebaik-baiknya kita mahu menggunakan vaksin tunggal dan bukannya dua dos, jadi vaksin terbaik buat masa ini ialah dos tunggal canSino serta vaksin Johnson and Johnson. Satu dos lebih mudah dan kita boleh meliputi seluruh kampung,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini kecoh dengan isu pembekuan darah oleh penerima vaksin jenis AstraZeneca yang berlaku di luar negara.

Kerajaan kemudian akan meneliti sebarang data klinikal dan maklumat membabitkan vaksin AstraZeneca yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kejadian pembekuan darah oleh penerima vaksin itu di negara luar.

Sumber : Bernama