Berita

Mayat Mangsa Tsunami Palu Masih Bergelimpangan, Tidur Beralas Plastik

gempak
Elrafaei Sapi
04/10/2018
10:28 MYT
Sponsor Banner
Mayat Mangsa Tsunami Palu Masih Bergelimpangan, Tidur Beralas Plastik
Situasi sebenar di Palu, Indonesia di mana berlakukan kejadian gempa bumi dan tsunami pada 28 September lalu sukar dibayangkan apatah lagi masih ada mayat yang belum dijumpai pasukan penyelamat.
Presiden, Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan yang berada di sana ketika ini berkongsi pengalaman sukarelawan di lokasi kejadian cukup menyayat hati apabila melihat mayat mangsa bergelimpangan.
Lebih menyedihkan, mayat mangsa ini terdiri daripada kanak-kanak termasuk bayi ditimbusi dengan pelbagai barang yang musnah dalam kejadian tersebut.
"Kami (sukarelawan) dapat melihat kerosakan dan kematian yang melebihi 1,200 orang dari bencana yang amat dahsyat telah berlaku di Palu, Sulawesi.
"Ada mangsa yang tidur di atas simen, berlapikkan plastik, tidak berbumbung, tidak berbantal, mengadap bintang-bintang di langit," katanya kepada Astro Gempak.
Ujarnya, meskipun kejadian yang berlaku sudah hampir seminggu berlalu tetapi kesan kemusnahan dan kesengsaraan penduduk di situ masih teruk.
Bayangkan bot dihayutkan ke darat dan terbalik manakala kubah utama Masjid Baiturrahman jatuh menyembah bumi.
"Keadaan masih teruk. Masih ada mayat yang baru dijumpai dan saya sendiri terjumpa 3 mayat," katanya.
Jelasnya, ada mangsa bencana yang tinggal di dalam khemah tapi masih ramai juga yang tidur hanya beralaskan simen, plastik mahupun apa saja yang boleh dijadikan tempat berteduh.
Dalam membantu mangsa ini, Muslim Care Malaysia juga terdiri daripada 10 sukarelawan termasuk 4 doktor perubatan dijangka tiba ke lokasi kejadian esok untuk membawa bantuan berupa makanan dan pakaian.
"Muslim Care Malaysia melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Gempa Bumi & Tsunami di Palu, Sulawesi, Indonesia bagi membantu mangsa-mangsa yang terkesan daripada bencana tersebut.
"Kita sasarkan RM1 Juta untuk misi bantuan ini dan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Muslim Care Malaysia iaitu 5644 9041 3882 (Maybank), 14 0140 1014 7470 (Bank Islam) dan 14 0100 0765 4717 (Bank Muamalat)," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Muslim Care Malaysia
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live