Pemergian sebutir lagi bintang tanah air yang cukup bersinar sekitar era 1980-an, Aman Shah semalam, masih dikenang oleh para peminatnya.

Apa lagi, Aman yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun akibat komplikasi jantung sangat sinonim dengan wajah tampan, suara yang merdu serta kehebatan lakonannya.

Di sebalik popularnya lagu raya dendangannya iaitu Kepulangan Yang Dinanti atau single pop berjudul Adikku Pandai Menari, Aman tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang seni ini juga sebenarnya cukup berbakat besar.


Selain memikat peminat dengan senyum dan tahi lalat yang manis lewat penampilan dalam beberapa naskhah popular seperti Darah Satria, Aman sebagai pelaku seni tidak pernah lokek bekerja untuk rakan seperjuangan yang lain.

Berikut antara fakta Aman Shah yang mungkin tidak diketahui ramai;

1 - Nama sebenar Aman Shah adalah Aman Shah Abu Kasim dan merupakan anak kelahiran Johor Bahru.



2- Pernah menjadi vokalis dan gitaris utama bagi kugiran yang ditubuhkan sewaktu masih berada di sekolah menengah. Kugiran tersebut diberi nama The Rembles. Mereka juga bermain di kenduri kahwin.

3- Almarhum juga pernah menjadi anggota kumpulan Booty’s Boys.

4- Selain berbakat dalam bidang nyanyian dan lakonan, Aman juga dianugerahi kebijaksanaan sebagai seorang komposer atau pencipta lagu.

5- Lagu popular yang digubah Aman Shah adalah Mata, dendangan penyanyi Noor Kumalasari.



6- Tidak hanya aktif dalam bidang muzik, Aman Shah juga pernah bergelar penerbit. Almarhum pernah menerbitkan drama bangsawan untuk TV3 berjudul Mawas.



7- Menurut laporan Kosmo!, sebelum meninggal dunia, Aman Shah sempat membentuk sebuah band dengan nama Deathism. Band tersebut turut dianggotai oleh Ritz sebagai gitaris dan Lee Space (pemain dram).

8- Dato' Ai La Beau merupakan filem terakhir yang menjadi kenangan Aman Shah sebagai anak seni. Membawa watak seorang penerbit, filem tersebut dihasilkan pada tahun ini.

Menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU), IJN, sekitar pukul 2.20 petang 14 September 2022, Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.