Penyanyi popular 90-an, Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, tidak pernah menyesali takdir hidupnya.

Mengalami masalah kesihatan, Shima yang popular menerusi lagu Teringin menyifatkan perkara itu sebagai satu ketentuan takdir.

"Saya tak pernah menyesal kerana ini bahagian hidup saya. Hidup orang lain saya tidak tahu.

"Bagi saya, apa yang terjadi adalah satu fasa kehidupan yang harus saya lalui. Saya pernah melalui zaman 80-an, meniti populariti di zaman 90-an sehinggalah kini.

"Setiap detik kehidupan menyajikan saya pengalaman yang berbeza. Saya sedari, tak semestinya kita berada di atas. Mesti kita akan ada jatuh bangun dalam kehidupan dan semuanya adalah dugaan yang Allah berikan.

"Apa yang penting, saya tidak menyesal dan menjalani segalanya dengan tenang serta berlapang dada," kata Shima.

Shima mengalami masalah cakera tulang belakang tergelincir sakit (slipped disc) sejak 2013 dan juga lemah pundi kencing yang menyebabkan dirinya terpaksa memakai lampin.

BACA: "24 Jam Saya Pakai..." - Alami Masalah Kesihatan, Shima Guna Lampin Pakai Buang

Dalam pada itu, Shima sempat menitipkan pesan kepada artis muda untuk menjaga kesihatan.

"Kesihatan sangat penting. Bagi saya, artis muda kena beringat. Dari sekarang, mereka harus ada insurans kesihatan untuk menjadi bekalan.

"Sakit pula tidak mengira waktu dan usia. Ketika muda juga kita boleh sakit, jadi persiapan harus dilakukan," katanya lagi.
Shima ditemui di sidang media Konsert Suara Emas Satu Kesan Abadi (Tribute to Allahyargham Saleem) di Panggung Asia, Gombak baru-baru ini.

BACA: Anjur Konsert Istimewa Kenang Arwah, Shima & Zaiton Sameon Bakal Nyanyikan Lagu Saleem

Shima bakal diundang untuk menyanyikan lagu hits Allahyarham Saleem bersama beberapa penyanyi lain.



Turut hadir di sidang media itu adalah penyanyi senior Zaiton Sameon dan isteri Allahyarham Saleem merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Salju Entertaiment, Juriah @ Julia Bachok.

Panggung Asia mampu memuatkan lebih 400 penonton dan harga tiket yang dikenakan bersempena konsert tersebut adalah RM150 seorang atau RM1,500 satu meja.

Untuk pertanyaan lanjut, tinggalkan mesej di aplikasi WhatsApp kepada Acit (010-5695178), Julia (014-3241977) atau ikuti laman Facebook Juriah Bugis (Balu Allahyarham Saleem) dan Panggung Asia Official.