Laman Utama
“Minda Tak Senter, Separuh Sedar, Maafkan Aku” - Yasin Sulaiman Kongsi Lirik Lagu Aku Bipolar
Penyanyi, Yasin Sulaiman yang kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja berkongsi sebuah lirik lagu yang bertajuk Aku Bipolar.
Menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya, nukilan itu seolah-olah menggambarkan luahan isi hati Yasin sebagai penghidap penyakit bipolar.
“Bagai rollercoaster, hidupku bipolar, dah muka poster, nama pun tercalar, minda tak senter, separuh sedar, maafkan aku, aku bipolar.
“Aku sakit mental sesekali kronik, zahir sentimental di dalam tragik bila rasa kebal, tak takut high risk nampak berakal berkata yang logik,” antara rangkap lagu tersebut.
Selain itu, lirik lagu tersebut juga dipercayai mendakwa keberkesanan rawatan menggunakan kanabis bagi mengubati penyakit sepertinya.
“Fikiran melayang kualami psikosis, perlukan rawatan kanabis, bukan sintetik internationalis, preskripsi Big Pharma kapitalis.
“Waktu hiperaktif insomnia, memori selektif amnesia, tak sanggup kembali manis, diikuti depresi yang lama.
“Ini yang ku alami, sejak milenium, gangguan emosi, perlukan lithium, harap kepingan hati kembali bercantum, aku bipolar, harap maklum,” coretnya.
Untuk rekod, ini merupakan lagu kedua dicipta Yasin sejak berada di sebalik tirai besi.
Lagu pertamanya berjudul Bebaskan Aku dihasilkan pada Mei lalu.
Terdahulu, Yasin terlepas hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pertuduhan mengedar ditarik dan Yasin akan dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.
Tuduhan tersebut mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Must-Watch Video