Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengeaskan golongan mukhannath atau lebih dikenali sebagai ‘mak nyah’ atau 'transgender' diharamkan memasuki masjid.

Ini kerana golongan tersebut mengalami kecelaruan jantina dan boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.

Perkara itu dinyatakan menerusi laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis, semalam.

Menurut Mohd Asri, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, golongan ini sengaja menyerupai jantina berbeza dan termasuk dalam golongan fasik.

“Bagi golongan ini terdapat beberapa hukum yang perlu diberikan perhatian.

“Hukum seseorang berkhalwat dengan golongan ini sekali pun daripada jantina yang sama adalah diharamkan jika boleh menimbulkan fitnah atau mencemarkan nama baik seseorang.

“Jika tidak menimbulkan fitnah maka hukumnya sama seperti seseorang berkhalwat dengan jantina yang sama,” katanya.

Tambahnya, solat jemaah golongan ini hendaklah berdasarkan jantinanya yang sebenar dan mereka diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina.

“Ini kerana golongan ini boleh mengganggu suasana ibadah di masjid. Golongan ini juga dilarang mengerjakan haji dan umrah jika penampilan mereka boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah haji dan umrah.

“Jenazah golongan ini diuruskan berdasarkan jantina yang sebenar. Pihak pengurusan jenazah memilih mereka yang sesuai untuk mengendalikan jenazah bagi mengelakkan fitnah.

“Lelaki dari golongan ini boleh menjadi wali dengan syarat ketika proses perwalian dia tampil dengan perwatakan lelaki,” katanya.

Anda boleh lihat penjelasan tersebut di sini.