Hiburan
“Nak Jadikan MUA Sebagai Karier Tu Tidaklah Tapi….” - Siti Nurhaliza Terjun Ke Bidang Solekan?
Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza bercadang untuk membuka bengkel solekan bersama dengan jenama kosmetik miliknyanya, SimplySiti.
Menurut Siti atau lebih mesra disapa Tokti, memang menjadi impiannya untuk mengendalikan bengkel tutorial solekan berskala besar bersama dengan semua pengguna produk SimplySiti.
“Dah lama saya rancang nak buat bengkel solekan ni. Nantilah satu hari nanti saya kongsi ilmu solekan yang ada.
“Tapi nak menjadikan jurusolek sebagai karier tu tidaklah tapi sebagai pengusaha jenama kosmetik, saya kena tahu semua ilmu dan pelbagai teknik solekan yang saya belajar daripada jurusolek professional," kata Tokti kepada Gempak.
Tokti ditemui ketika acara SimplySiti Fun Day Out Bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza bertempat di Genting Highlands, Pahang pada Rabu.
Tambah Tokti lagi, dia berpeluang menunjukkan kemahiran solekan yang ada sewaktu menyolek Farah Nawal, puteri pakar ortopedik terkenal, Datuk Seri Dr. Zulkharnain Ismail.
“Dia memang anak kenalan yang saya dah anggap macam keluarga. Masa hari istimewa tu, keluarga dia request untuk saya solek jadi saya tak boleh nak tolak sebab kami memang rapat.
“Kalau solek tunang saya berani la tapi kahwin nanti baik ambil yang professional la. Jadi saya tunjukkan kepakaran solekan daripada apa yang saya belajar dulu dan dari pengalaman saya yang memang suka bersolek.
“Solekan masa tunang tu pun ringkas je sebab Farah tu sendiri memang dah cantik so saya letak warna yang manis-manis je,” jelas Tokti lagi.
Must-Watch Video