HIBURAN

Netizen Tertipu, Rupanya Sajat Bukan Di Malaysia Tapi...

Umirah Halim 21/03/2025 | 08:55 MYT

Usahawan dan pempengaruh sensasi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, dipercayai kini tidak berada di Malaysia.

Sebaliknya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat berada di negara jiran, Singapura.

Menerusi perkongsian di akaun Instagram, Sajat memaklumkan bahawa dia akan berada di sebuah festival yang berlangsung di Singapura.

“Mana yang nampak Sajat semalam tu, terima kasih kerana tegur Sajat dan Sajat gembira dapat bergambar dengan mereka. Maaf kalau muka Sajat nampak penat. Jom jumpa Sajat di majlis esok,” tulisnya.

Malah, Sajat turut memuat naik beberapa keping foto yang memaparkan dirinya mengenakan busana songket sebuah butik di Singapura.

Bukan itu sahaja, hantaran yang dimuat naik oleh selebriti kelahiran Singapura, Roslan Shah juga menguatkan spekulasi bahawa usahawan itu sedang berada di Singapura.

“Alhamdulillah Nur Sajat dah sampai Singapura. Dia membuat panggilan video bersama Cik Lan pagi tadi,” tulisnya dalam Instagram Story.

Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen rata-rata netizen menzahirkan rasa kecewa selepas mengetahui bahawa usahawan itu berada di Singapura.

“Ingatkan kat Malaysia, semua kena tipu.

“Dah agak dia kat Singapura.

“Kesian kena tipu semua netizen,” komen beberapa netizen.

Terdahulu, beberapa hari lalu Sajat kembali menjadi perhatian ramai selepas dia mendedahkan sudah pulang ke tanah air untuk meraikan hari raya.

Kepulangan Sajat disambut baik oleh pengikutnya di media sosial, yang rata-rata gembira melihat dia bakal meraikan Syawal bersama keluarga.

Selain berkongsi berita kepulangannya, Sajat juga sempat bertanya kepada pengikutnya mengenai bazar Ramadan yang menarik untuk dikunjungi.

Malah dia sempat membuat promosi untuk festival Starvendor anjuran Ifa Raziah yang akan berlangsung bermula 21 Mac 2025.

Dalam video tersebut , Sajat memberitahu dia akan berada di festival tersebut untuk bertemu peminatnya.

Mesej itu menimbulkan spekulasi bahawa Sajat, 40, telah pulang ke Malaysia selepas beberapa tahun menetap di Australia.

Sejak 2021, Sajat menetap di Australia selepas menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia atas beberapa kesalahan syariah.

Dia pernah didakwa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dua pertuduhan, termasuk berpakaian seperti wanita dan memuat naik gambar yang dianggap tidak sopan di Instagram.

#Malaysia #Singapura #sajat