Berita
"Orang Akan Kata Anak Tumpang Nama Saya Untuk Bergelar Pelakon, Tapi ....." - Jasmin Hamid
Pelakon Jasmin Hamid mengakui anaknya, Ian Haziq sudah menerima beberapa tawaran lakonan setelah gambar bersama yang dikongsikan olehnya mendapat perhatian ramai.
Menurut Jasmin, dia faham orang ramai akan mempertikaikan bahawa anaknya mengambil jalan mudah untuk bergelar seorang pelakon kerana menumpang populariti yang ada pada dirinya.
"Saya faham orang akan kata anak menumpang nama saya untuk bergelar seorang pelakon tapi saya tidak berasa begitu kerana sudah semestinya orang meletakkan harapan tinggi padanya.
"Bila saya seorang pelakon mesti orang akan anggap dia juga boleh belakon tapi jika sebaliknya sudah pasti itu akan memburukkan nama saya.
"Jadi saya mahu anak saya bermula daripada bawah kerana bukan mudah sebenarnya untuk bergelar seorang pelakon dan dalam masa yang sama sebagai seorang emak saya akan membimbing dia.
"Saya tak akan halang kalau dia nak jadi artis tapi saya cakap pada dia, nak jadi artis, jadilah artis yang berilmu," katanya kepada Gempak.
Jasmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media 13 Khurafat, di Finas Hulu Kelang, baru-baru ini.
Jangan lupa untuk menyaksikan drama bersiri 13 Khurafat ini untuk mengetahui kesudahan amalan khurafat yang pernah diamalkan.
Selain Jasmin, 13 Khurafat turut dilakonkan oleh Azhan Hani, Syafie Naswip, Eyra Hazali, Mimi Ernida, Liza Abdullah dan ramai lagi.
13 Khurafat bakal menemui penonton pada setiap hari Rabu, pada pukul 11 malam di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).
Must-Watch Video