Laman Utama
"Patik Merafak Sembah Menjunjung Kasih..." - Remy & Isteri Terima Hadiah Perkahwinan Daripada Agong Dan Raja Permaisuri Agong
Pasangan pengantin baru, aktor Remy Ishak, 39, bersama isterinya Roszaliza Yusof, 38, berkongsi kegembiraan menerima hadiah perkahwinan istimewa daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah.
Menerusi Instagram, Remy merafak sembah dan menjunjung kasih Seri Paduka Baginda berdua atas hadiah perkahwinan dari istana itu.
"Patik dan isteri merafak sembah menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustai'in Billah, dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj atas anugerah perkahwinan dari Istana kepada kami berdua," coretnya.
Dalam pada itu, Remy dan isteri turut mendoakan kesejahteraan buat Seri Paduka Baginda berdua.
"Kami mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat serta limpah kurnia Allah SWT buat Tuanku dan Tunku," coretnya lagi.
Dalam entri sama, Remy turut berkongsi video memegang kotak hadiah istimewa dari Istana Negara itu bersama isterinya beserta ucapan menjunjung kasih dan doa.
Sabtu lalu, Remy selamat bergelar suami kepada Roszaliza dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Must-Watch Video