Sebuah restoran baru-baru ini memuat naik satu video di laman Facebook rasminya memperlihatkan seorang lelaki menghabiskan hidangan Nasi Kandar yang berharga RM218.

Menerusi kapsyen yang dibuat di akaun Facebook, difahamkan lelaki itu telah memecahkan rekod harga Nasi Kandar termahal pernah dicatatkan oleh restoran tersebut.

BERITA TRENDING: ‘Kantoi’ Rakam Video Dari Bawah Skirt Perempuan, Lelaki Berusia 33 Tahun Ditahan Polis

Bagaimanapun, perkongsian itu tidak disambut baik oleh warganet di mana rata-ratanya mengkritik lelaki berkenaan serta menyifatkannya sebagai seorang individu yang sanggup mengabaikan kesihatan demi memecahkan rekod yang tidak mendatangkan faedah.



Antara komen yang diterima:

“Gout oi! Jaga kesihatan, badan tu lama lagi nak guna,”

“Apa yang pemecah rekod tu dapat? Setakat rekod je? Duit habis banyak yang tapi tauke yang untungnya,”

“Mencari penyakit, gout menanti. Semoga diberi kesembuhan.”

Dalam pada itu, ada juga segelintir netizen mempertahankan lelaki tersebut kerana beranggapan apa yang dilakukan adalah hak peribadi dan tidak mendatangkan kemudaratan untuk pihak lain.

"Yang duduk komen bukan-bukan dalam ni, kamu sakit hati kenapa dia nak makan sampai beribu pun? Biar lah perut dia, duit dia, kesihatan dia," ujar seorang netizen.

"Biarlah, duit dia pilihan dia," tambah seorang lagi wargamaya.

Setakat artikel ini ditulis, entri itu meraih hampir 2,000 tanda suka dan lebih 400 komen netizen di Facebook.

Sumber: Facebook