Pasangan pelakon, Pekin Ibrahim dan Mona Allen mendedahkan tentang aktiviti yang dilakukan sejak bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Menurut Pekin, dia akan meluangkan masa untuk menyiapkan skrip yang masih belum disempurnakan.

"Saya akan menyiapkan skrip yang masih belum lengkap sepenuhnya, kadang-kadang saya tunggu 'mood' untuk menulis, tetapi saya tetap akan siapkan skrip itu dalam masa terdekat kerana sudah ada tarikh untuk dihantar," katanya.



Dalam pada itu, Mona pula mengatakan dia kerap memasak untuk mengisi masa lapang.

"Saya memang suka memasak, jadi, sejak berada di rumah ketika PKP, saya banyak memasak untuk kami berdua.

"Saya selalu masak makanan Melayu, tetapi kadang-kadang saya bertukar selera juga mencuba resipi makanan barat," kata Mona.

Pekin dan Mona berkongsi perkara itu ketika ditemubual secara eksklusif dalam segmen Artis Duduk Diam di ruangan Live Instagram Gempak baru-baru ini.

Dalam pada itu, pasangan ini turut mendedahkan siapa yang paling 'tak tahan' berada di rumah untuk tempoh masa yang agak lama sepanjang PKP dilaksanakan.

"Saya rasa Mona yang paling tak tahan duduk rumah, sebab dia selalu keluar lakukan pelbagai urusan, saya pula sudah biasa duduk di rumah sahaja," ujar Pekin.

Tidak berdiam diri, Mona berseloroh dan menambah apa yang diperkatakan suaminya itu.

"Ya, memang saya yang selalu keluar rumah, pergi beli belah, ke salon rambut dan macam-macam lagi.

"Apabila keadaan sebegini, memang ada rasa tak tahan mahu keluar, tapi kita mesti patuh pada arahan kerajaan dan menjaga kesihatan diri," tambah Mona.

Dalam perkembangan terbaru, Pekin dan Mona bergandingan dalam filem komedi terbaru arahan Mamat Khalid iaitu Manap Karaoke.

Selain pasangan ini, Manap Karaoke turut menampilkan lakonan hebat dari Joey Daud, Ropie, Imuda dan ramai lagi.

Bagi anda yang belum menyaksikan Manap Karaoke, filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Manap yang membuka perniagaan karaoke bergerak.

Banyak cabaran yang akan ditempuhi Manap dan rakan-rakannya, apa yang pasti, filem ini sarat dengan kisah lucu yang membuatkan anda tidak kering gusi menontonnya.

Jangan lupa untuk mendapatkan Manap Karaoke di Astro First, saluran 480 sekarang!