Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rafiena Ezanee Ramli kesal dengan sikap segelintir bakat muda yang tidak bersungguh-sungguh untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelakon.

Sebagai pemilik rumah penerbitan Darkwave Pictures, Rafiena pernah berhadapan dengan masalah yang melibatkan pelakon muda ini.



"Ada segelintir yang tidak memberikan komitmen terhadap kerjaya mereka. Ada yang datang ke set penggambaran tetapi skrip pun mereka tak ingat atau hafal.

"Situasi ini sangat berbeza dengan pelakon senior dan berpengalaman. Mereka bukan sahaja komited, tetapi mereka turut menunjukkan hasil kerja yang bagus," katanya.

Bakal muncul dengan drama bersiri Syurgaku Tak Sempurna 2, Rafiena berharap agar pendatang muda ini dapat mementingkan disiplin dalam kerjaya mereka.



"Untuk berjaya sebagai seorang pelakon, ia bukannya mudah. Disiplin harus berada di tangga yang pertama.

"Saya senang bekerja dengan mereka yang mementingkan kualiti kerja. Apa yang penting, mereka memberikan penjiwaan dalam lakonan dan ia akan meninggalkan impak positif kepada mereka yang menontonnya kelak," katanya.



Dalam perkembangan terbaru, telefilem terbitan syarikat Rafiena, Asam Pedas Cendol Sejoli lakonan Sharifah Sakinah, Arja Lee, Hafizuddin Fadzil, PS Mansur, Aleza Shadan dan Syarrizuan Abdul Rashid bakal menemui penonton pada 6 April hadapan, jam 9 malam di Astro Citra.