Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis memerintahkan seorang bekas pereka sambilan yang menjadi individu pertama di negara ini didakwa atas pertuduhan menghendap seorang jurugambar wanita, menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Majistret, Sasha Diana Sabtu memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas supaya tertuduh, Mohamad Safiq Rosli, 37, dihantar ke hospital itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Semasa prosiding, Mohamad Safiq yang memakai kemeja berwarna hijau, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mengganggu Acacia Mardiana Daud, 31, secara berulang, dengan menghantar komunikasi menggunakan akaun Twitter, "@sopert99" kepada mangsa di akaun "@ShaFoShizzle", yang telah dibaca di sebuah rumah di daerah ini (Shah Alam), pada 15 hingga 21 Julai lalu.

Tertuduh yang kini menganggur, dituduh sepatutnya mengetahui bahawa gangguan tersebut boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 507A (3) kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh kerana lelaki tersebut telah melanggar jamin polis bagi suatu kes di United Kingdom (UK).

"Dia telah ditangkap negara itu pada 4 April lalu dan diberi jaminan polis, yang mana dia sepatutnya hadir ke mahkamah di sana pada 2 Jun lalu.

"Bagaimanapun, tertuduh telah melanggar jaminan yang diberi dan melarikan diri ke Malaysia, sekali gus menyebabkan dia disenarai hitam oleh polis UK," katanya.

Beliau turut memohon kepada mahkamah agar tertuduh dihantar ke hospital bahagia untuk pemerhatian.

Menurutnya, sebelum ini tertuduh telah dihantar oleh keluarganya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan dan dia telah ditempatkan di wad psikiatri sejak 17 Julai lalu.

Sementara itu, peguam, Fithril Hatim Ab Jalil yang mewakili tertuduh, tidak membantah sekiranya Mohamad Safiq dihantar ke hospital tersebut.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sasha Diana berkata, jumlah jaminan hanya akan diputuskan selepas pemerhatian di hospital tersebut selesai, dan menetapkan 7 September depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding sama, peguam pemerhati, Jason Wee bagi pihak Acacia, memohon kepada mahkamah agar satu perintah perlindungan diberi kepada anak guamnya bagi mengelakkan gangguan daripada tertuduh berulang di masa depan.

“Perintah ini perlu diberikan kepada anak guam saya kerana ia menyentuh isu keselamatan, memandangkan tertuduh sebelum ini dilaporkan pergi ke UK untuk melakukan kesalahan sama," katanya.

Sasha Diana kemudiannya membenarkan perintah perlindungan diberi kepada mangsa, sehingga kes ini selesai.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa menerusi hantaran di media sosial berkongsi berkaitan kisahnya diganggu seorang individu.

Mangsa turut mendakwa sering kali diganggu dengan pesanan berbaur lucah sehingga mengakibatkan emosi mangsa terganggu.

Polis sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung gangguan seksual dalam talian dihadapi jurugambar wanita pada 2018.

Sumber: Sinar Harian