Pelakon popular, Zara Zya menerusi hantaran di Instagram semalam turut menyokong kempen menaikkan #BenderaPutih di kediaman sebagai simbolik memohon bantuan demi kelangsungan hidup akibat terkesan pandemik Covid-19.

Dilihat memuat naik gambar berpakaian serba putih sambil memegang bendera putih, Zara mengingatkan agar golongan yang memerlukan ini tidak perlu berasa malu atau merayu untuk meminta pertolongan daripada orang ramai.

“Kalau ternampak #BenderaPutih, tolong hulurkan bantuan. Manisnya bila rezeki dapat dikongsi.
“Saya berdiri untuk Solidariti 100% menyokong kempen #BenderaPutih ini, jangan biarkan kesusahan, tangisan, kesedihan berterusan.

“Tolonglah, jangan politikkan, ini kempen rakyat untuk rakyat!”

Waktu sama, Zara turut memberi pesanan kepada warganet agar hantaran itu dapat dikongsi sekali gus disebarkan sebagai tanda sokongan.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Malaysia Prihatin, Zara turut meluah keinginan bagi membantu mereka yang berada dalam kesukaran hidup dengan menyumbang makanan.

“Saya sentiasa percaya tidak berkurang rezeki apabila dapat menolong orang lain. Saya sedang merencana sesuatu untuk menjayakan kempen #BenderaPutih ini. Nantikan!” katanya ketika dihubungi Gempak.

Seminggu lalu, tular mengenai #BenderaPutih selepas warganet bersepakat menggunakan platfrom media sosial sebagai solidariti menolong pihak memerlukan melalui kempen tanda pagar #RakyatJagaRakyat dengan mengibarkan bendera putih di kediaman jika tiada makanan.

Instagram: @zarazya