Pengacara Neelofa menitipkan ucapan selamat maju jaya kepada pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bermula hari ini.

Menerusi laman sosial Twitter, Neelofa menulis satu kicauan memberi semangat dan harapan agar semua pelajar lulus cemerlang.

“Selamat maju kepada semua calon SPM! Jangan gementar, sentiasa fokus dan buat yang terbaik.“Ingat ada benda yang lebih besar dan luas menanti dan anda ada segalanya untuk berjaya,” tulis Neelofa.

Peperiksaan SPM bermula hari ini dengan subjek bahasa Melayu kertas satu dan kertas dua.

Seramai 416,416 calon yang telah mendaftar untuk menduduki SPM fasa 2 yang akan berakhir pada 28 November ini.

Meninjau ke ruangan balas, ramai yang mengucapkan terima kasih kepada selebriti tersebut.

Malah, ada juga yang turut meminta tips untuk lulus cemerlang seperti yang pernah dicapai oleh Neelofa.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Langkawi ini mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2006.

Dia merupakan antara selebriti yang lulus cemerlang dengan keputusan 10A.

Berbekalkan keputusan cemerlang, Neelofa kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di Universiti Sunway dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Antarabangsa dan Pemasaran.