Impian penyanyi dan komposer Ajai untuk bekerjasama dengan idolanya, Datuk Awie menjadi kenyataan menerusi lagu runut bunyi filem Rebel: Berontak Untuk Berotak berjudul Cerita Rindu.

Lebih bermakna, ia juga buat julung kali Ajai bekerjasama dengan vokalis Kumpulan Wings itu menerusi lagu runut bunyi.

BERITA TRENDING: Isu The Gadys Tak Boleh Menyanyi Live Salah Siapa? Ajai Beri Pandangan - “Ada 3 Masalah Di Situ”

Ajai atau nama sebenar, Mohd Faizal Maas, 50, dia berasa sangat teruja bila diberi kepercayaan menerbitkan lagu Cerita Rindu dendangan Awie untuk filem bergenre aksi itu.

“Saya dibesarkan dengan lagu dendangan Awie sejak zaman bersama Kumpulan Exists lagi.

“Saya pernah bertemu dengan Awie ketika masih di bangku sekolah dan menyimpan impian agar kami dapat bekerjasama suatu masa nanti,” katanya yang menjejakkan kaki dalam industri muzik sejak berusia 14 tahun.

BERITA TRENDING: Ajai Akui Agak Mustahil Untuk Kembali Berduet Dengan Nourul Depp - “Tiada Masalah Dengan Dia, Tapi…”

Cerita Rindu

Mengenai lagu Cerita Rindu, kata Ajai, ia memiliki kelainan daripada lagu yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Sebagai mana yang kita tahu, lagu Awie cukup sinonim dengan sentuhan Datuk M Nasir dan JS Kevin sejak dulu.

“Kali ini, ia berlainan sikit dengan sentuhan daripada saya dari segi ‘phrasing’ pernafasan, tapi masih lagi meletakkan citarasa Awie,” katanya.

Ditanya dari segi suara, kata Ajai, vokal Awie masih kekal pada lagu Cerita Rindu dan perubahan hanya pada sentuhannya selaku penerbit.

“Setiap penerbit ada cara berbeza untuk menerbitkan lagu setiap artis kerana setiap lagu mempunyai pernafasannya tersendiri.

“Apa yang penting, lagu ini tidak ‘stereotype’ dan sama seperti yang pernah dihasilkan penerbit lain sebelum ini,” katanya.

Setahun bincang

Berkongsi proses rakaman, Ajai berkata, ia berlangsung di Studio Wake The Baby kira-kira tiga bulan lalu.

“Sebenarnya, proses perbincangan untuk menghasilkan lagu runut bunyi ini sahaja berlangsung selama setahun.

“Saya sudah dapat sinopsis lagu lebih awal, tapi proses rakaman mengambil masa kerana kesibukan masing-masing. Ini kerana Awie juga mengarahkan filem ini,” katanya.

Kata Ajai lagi, dia juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Awie sepanjang proses rakaman lagu kerana masing-masing berpengalaman luas dalam bidang muzik.

“Walaupun kami berbeza dari segi usia, tapi saya tidak berasa takut untuk beritahu perkara yang betul dengannya.

“Awie juga menerima pandangan saya dengan minda terbuka dan turut memberi cadangan apa yang dimahukannya. Kami bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Kata Ajai lagi, proses rakaman lagu itu hanya mengambil tempoh selama dua hari untuk proses memasukkan vokal di studio.

“Selebihnya adalah kerja saya untuk proses ‘mixing’ dan sebagainya selama lima hari.

“Awie juga berpuas hati dengan hasilnya kerana sudah beri apa yang saya mahukan dan ini hasil terbaik daripadanya” katanya.

Filem Rebel: Berontak Untuk Berotak diterbitkan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dengan kos pembikinan mencecah hampir RM1 juta.

Naskhah pertama arahan Awie itu menampilkan Ben Amir dan MK K-Clique selaku watak utama. Ia turut dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.

Rebel: Berontak Untuk Berotak menemui penonton pawagam di seluruh negara pada hari ini, Khamis, 2 Mei 2024.