Harimau Malaya berjaya mengikat pasukan gergasi Republik Korea dengan jaringan 3-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan E, sebentar tadi.

Perlawanan yang mendebarkan itu menyaksikan Harimau Malaya tidak mahu mengaku kalah dan telah memberikan jalan sukar untuk skuad bimbingan Jurgen Klinsmann sehingga wisel penamat.

Lebih menarik, aksi perlawanan tersebut telah mendapat perhatian dan pujian dari badan induk bola sepak FIFA sejurus tamat perlawanan tersebut.

Perlawanan menarik tersebut bagaimanapun menyaksikan Malaysia bertahan dari minit awal permainan sehinggakan Jeong Woo-yeong berjaya meletakkan Korea 1-0 di hadapan menerusi tandukan pada minit ke-21.

Memasuki babak kedua perlawanan, Malaysia bermula baik memberikan asakan dan hasilnya Faisal Halim menyamakan kedudukan dengan menjaringkan gol cantik pada minit ke-51.

Selepas itu, Arif Aiman terus memberikan harapan besar kepada seluruh rakyat Malaysia dengan jaringan menerusi sepakan penalti menjadikan kedudukan 2-1 buat Malaysia.

Namun, Lee Kang-in memusnahkan harapan tersebut dengan satu lencongan menarik menerusi sepakan bebas di hadapan pintu gol Malaysia untuk menewaskan Syihan Hazmi menjadikan kedudukan 2-2. Son Heung-min menambah derita Harimau Malaya dengan satu lagi jaringan menerusi sepakan penalti untuk kedudukan 3-2.

Namun, tatkala perlawanan hampir pasti berkesudahan dengan kemenangan buat Korea, penyerang gantian Romel Morales kembali memberikan kegembiraan kepada penyokong Malaysia apabila berjaya menyudahkan hantaran Paulo Josue untuk menamatkan perlawanan dengan jaringan 3-3.

STADIUM ASTRO / ASTRO ARENA