Pihak yang tidak berpuas hati dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh membuat rayuan di mahkamah untuk semakan semula kompaun.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata polis akan terus mengambil tindakan tegas tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi perintah itu.

“Mana-mana individu yang dikenakan kompaun mempunyai hak dan boleh membuat rayuan.

"Mereka boleh mengemukakan rayuan di mahkamah mengikut saluran yang ditetapkan untuk proses semakan semula kompaun tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu yang tular di media sosial semalam apabila seorang individu tidak berpuas hati dikenakan kompuan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan betul.

Menerusi laman sosial Facebook, seorang pemuda menggunakan nama Vanzolio Dior dikatakan dikompaun oleh anggota polis ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Setapak dengan alasan tidak memakai pelitup muka dengan sempurna.

Beberapa gambar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut dimuat naik bersama hantaran itu menunjukkan pemuda terbabit memakai pelitup muka.

Pihak polis juga meminta orang ramai untuk terus mematuhi pelaksanaan arahan PKPB dan juga SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sumber: Berita Harian
Kredit Foto: FreeMalaysiaToday