Laman Utama
PKPD: Polis Selangor Tak Pasang Kawat Duri, Buat SJR Secara Besar-Besaran
Polis Selangor akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) secara besar-besaran di seluruh negeri bagi memantau penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan (PKPD) di negeri tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya juga akan menggerakkan 80 peratus daripada kira-kira 14,000 anggotanya dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, polis tidak akan memasang kawat duri memandangkan ia membabitkan kawasan yang besar namun pemantauan lebih ketat akan dilakukan di laluan yang biasa dilalui orang awam.
"Kita juga akan meletakkan pasukan pemantauan yang melakukan sekatan di beberapa tempat bagi memastikan tiada orang merentas kawasan yang dinyatakan.
"Satu lagi cabaran yang mungkin kita hadapi adalah kerana dalam tempoh ini, Selangor sebahagian besarnya PKPD tapi Kuala Lumpur masih PKP kecuali beberapa tempat yang dikenakan PKPD.
"Pergerakan orang ramai masih lagi berlaku sebab mereka yang berada di Kuala Lumpur ada yang bekerja di sana tapi menetap di Selangor," katanya.
Justeru, katanya, polis akan melakukan pemeriksaan dengan lebih ketat di setiap SJR dengan memeriksa dokumen setiap individu.
"Kita akan buat pemeriksaan dokumen mereka yang merentas untuk tentukan mereka yang betul-betul ada dan dibenarkan melakukan pergerakan merentas sempadan.
"Mereka perlu sediakan dokumen, misalnya kalau bekerja di Kuala Lumpur dalam sektor dibenarkan, ada surat daripada majikan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” ujarnya.
Tegasnya, polis akan sentiasa meronda di seluruh Selangor bagi memastikan pematuhan sentiasa berada pada tahap yang tinggi.
Dalam pada itu, Arjunaidi menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati cuba untuk merentas daerah tanpa kebenaran.
Menurutnya, meskipun statistik pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) menunjukkan trend penurunan namun pihaknya akan terus bertegas dan tidak berkompromi terutamanya melibatkan rentas sempadan.
"Kalau dia belum merentasi sempadan, kita akan arahkan mereka patah balik tapi kalau dah merentasi sempadan, kita akan kompaun dan suruh patah balik.
"Maknanya kalau rentas sempadan dia telah melakukan kesalahan, sepatutnya dia tidak harus melepasi sempadan. Kita akan ambil dua tindakan, kompaun dan arahkan mereka patah balik," tegasnya.
Must-Watch Video