Polis menahan pemandu lelaki mabuk yang menyebabkan atlet kayak Malaysia, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ujian saringan pernafasan ke atas suspek yang berusia 30-an mendapatinya positif alkohol manakala ujian air kencing pula bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kemalangan tersebut berlaku semasa mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi dilanggar kereta Toyota Vios dipandu suspek dari arah belakang pada jam 4.30 petang Sabtu.

"Kereta suspek dari arah belakang itu mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, akibatnya mangsa mengalami kecederaan retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki sementara suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.

Raub memberitahu, mangsa kini dirawat di Hospital Colombia Asia di Iskandar Puteri di sini.

Suspek katanya, ditahan selama 24 jam untuk siasatan dan telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan katanya, pelaku boleh dipenjara sehingga minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM30,000 atau maksimum RM50,000.

"Pihak polis memohon saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek 014 6977122.

Terdahulu Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang dalam satu kenyataan memberitahu, Siti Nurul Masyitah parah selepas dilanggar dan diseret sejuh 600 meter apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan itu.

Menurut persatuan berkenaan, video kemalangan melibatkan Siti Nurul Masyitah yang mengambil jurusan Kejuteraan Mekanikal itu ada dirakamkan papan pemuka sebuah kereta.

"Menurut saksi berserta rakaman 'dashcam', kereta terbabit dipandu dalam keadaan melulu sebelum melanggar Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 600 meter," menurut kenyataan tersebut.

Siti Nurul Masyitah merupakan Atlet Kayat Dragon Boat Malaysia Bronze Medal SEA Games 2023.

Berdasarkan hantaran yang tular dalam media sosial, dapat dilihat beberapa keping gambar ketika kemalangan yang dikongsi termasuk foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat 'peace'.

Sumber: Sinar Harian

Berita Trending: Selepas 21 Minit Dimuat Naik, Aliff Aziz Like Vlog Rambut ‘Kejung’…

Berita Trending: Pernah Berkolaborasi Dengan Ruhainies, Aliff Syukri: “Dah…