Sejak minggu lalu tular mengenai sebuah filem yang berjudul Blood Red Sky.

Lihat saja di media sosial, pasti ada rakan yang berkongsi mengenai filem ini.

Ada yang memuji, namun tidak kurang juga yang menganggap filem ini biasa-biasa saja.

Persoalannya, adakah filem ini bagus dan wajib ditonton?

Menerusi kolum Popcorn Time ini, kami ulas sedikit mengenai filem Blood Red Sky.

Secara dasarnya, filem ini mengisahkan perjalanan seorang wanita bernama Nadja dan anaknya, Elias yang menaiki pesawat untuk menuju ke New York.

Walau bagaimanapun, ketika penerbangan, satu insiden telah berlaku hingga memaksa Nadja menunjukkan identiti sebenarnya.



Blood Red Sky dimulakan dengan 1,001 persoalan apabila watak Nadja mendedahkan dia mempunyai penyakit seakan leukemia.

Namun, ia mencetuskan keraguan apabila dia seakan menyembunyikan jenis ubatan yang digunakan.

Adakah ia benar leukemia? Atau satu mutasi? Malah, bayangan awal ini membuatkan penulis tertanya adakah dia sebenarnya ‘villain’ dalam filem ini?

Beralih kepada babak di atas penerbangan, apa yang penulis boleh katakan ia sangat ‘unpredictable’.

Ini kerana individu yang kita sangka ‘lemah lembut’ rupanya hanyalah manusia bertopengkan syaitan.

Benarlah kata orang, ‘don't judge a book by its cover’.

Filem ini tidak mengambil masa lama untuk membuatkan penonton ‘panas’ dengan babak-babak intense dan mengerikan.

Satu persatu persoalan dirungkaikan, malah penonton beberapa kali dibawa ke babak ‘flashback’ menceritakan asal usul kejadian berlaku terhadap Nadja.

Segala persoalan akhirnya terjawab di situ.

Kini penonton hanya perlu berteka teki bagaimana insiden ‘chaos’ di atas kapal terbang itu diselesaikan.

Secara keseluruhan filem ini tidaklah begitu ‘baru’ pada pandangan saya.

Kisah rampasan penerbangan atau ‘flight hijack’ serta serangan mutan ala zombie semuanya akan mengingatkan penonton kepada beberapa filem sebelum ini.

Malah, ada satu babak yang terus mengingatkan penulis kepada Train To Busan.

Pun begitu, filem ini masih ada kekuatannya tersendiri.

Pacing yang agak laju di awal filem, perasaan geram yang muncul hasil daripada watak villain dan sedikit plot twist, semuanya menjadikan filem ini menarik.

Penulis menganggap Blood Red Sky sebagai adunan beberapa genre dan DNA filem yang disatukan.

Tidak dinafikan ada beberapa babak agak sedikit ‘draggy’, namun tidaklah terlalu ketara hingga membuatkan penulis keluar daripada ‘pangggung wayang’.

Jadi adakah filem ini bagus atau teruk? Secara peribadi, penulis menganggap filem ini wajib ditonton!

Jika kena dengan selera, tidak mustahil anda juga menyukakan filem ini.

Biarpun ada yang mendakwa ‘menguap’ menonton filem ini, namun rating diberikan Rotten Tomatoes iaitu 80 peratus menjadikan Blood Red Sky agak promising.

Lain padang lain belalang!

Rating Gempak 7.8/10


Filem Blood Red Sky boleh ditonton menerusi saluran penstriman Netflix.