Seperti yang sedia maklum, penyanyi rap terkenal iaitu Altimet turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.

Bagi menjalankan tanggungjawab, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman juga antara yang terawal beratur untuk membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat.

Altimet yang juga calon Pakatan Harapan (PH) DUN Lembah Jaya itu turut memuat naik swafoto ketika sedang beratur bersama pengundi yang lain.

“Awal tak kalut. Bukit Antarabangsa, hadir,” kongsinya menerusi laman Twitter miliknya.

Sebaik sahaja selesai mengundi, Altimet turut sempat bergambar bersama dua orang pengantin lelaki yang turut turun padang menjalankan tanggungjawab.

Malah, dia juga memuji pengantin lelaki yang dikenali sebagai Abdul Qayim Rosian melaksanakan tanggungjawab sebelum melangsungkan pernikahannya.

“Selesai. Tahniah kepada tuan pengantin. 8.20 pagi: pengantin Abdul Qayim Rosian, 26, antara pengundi pertama di SMK Seri Keramat untuk DUN Bukit Antarabangsa sebelum pergi ke majlis akad nikahnya pada 9.30 pagi,” katanya.

Terdahulu, Altimet yang menyandang Ketua Cabang PKR Ampang turut menyatakan keyakinan mampu menawan Lembah Jaya.

BACA SINI: Selebriti Bertanding PRN; Ada Bekas Pemain Bola, Baddrol Bakhtiar Sampai Altimet, Baby Shima Apa Cerita?

BACA SINI: PRN: Pernah Mengenali Sebahagian Penduduk, Altimet Yakin Mampu Tawan Lembah Jaya