Laman Utama

Rahsia Ketenangan The Pocket Rocketman; Khatam Al Quran & Bawa Pulang Pingat Perak

gempak
Gempak
14/08/2021
05:45 MYT
Sponsor Banner
Rahsia Ketenangan The Pocket Rocketman; Khatam Al Quran & Bawa Pulang Pingat Perak
Kejayaan yang dirangkul jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini ternyata diselitkan dengan sebuah rahsia.
Menurut atlet yang mencipta sejarah menaiki podium memenangi pingat perak untuk acara keirin ini, beliau sempat mengkhatamkan al-Quran dua hari sebelum mencipta sejarah menaiki podium memenangi pingat perak pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.
Mohd Azizulhasni, 33, berkata matlamatnya untuk khatam kitab suci itu sebelum memulakan perjuangan dalam acara keirin lelaki di Tokyo sudah beliau mulakan sejak berada dalam kem latihan di Nilai, bulan lepas.
Katanya program latihan yang ‘keras’ serta pelbagai aktiviti bersama pasukan berbasikal trek negara membataskan kuantiti bacaannya, namun mula mempunyai lebih banyak ruang melaksanakan ‘misi’ peribadinya itu sebaik berlepas ke Tokyo.
Mengakui bukan mudah berangkat ke negara matahari terbit dengan tekanan yang tinggi, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata membaca al-Quran membuatkan fikirannya menjadi tenang, selain jiwa tidak bergelora sekali gus membantu beliau kekal tenang menjelang hari pertandingan.
“Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapi situasi ekstrem ini, jawapan saya adalah al-Quran,” katanya yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ dalam satu hantaran menerusi laman Facebook dan Instagram hari ini.
Mohd Azizulhasni berkata separuh perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Tokyo di dalam kapal terbang dihabiskan dengan membaca kitab suci tersebut.
“Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi tersebut memberikan kata-kata semangat dan juga beberapa tip kerohanian,” katanya yang turut memanfaatkan waktu terluang di Perkampungan Sukan Olimpik dengan membaca al-Quran.
Bagaimanapun, juara dunia keirin 2017 itu mengakui terdapat banyak dugaan, malah seperti ada ‘bisikan’ yang cuba mematahkan semangatnya setiap kali ingin memulakan bacaan al-Quran.
Sementara itu, Mohd Azizulhasni menyifatkan ketika beliau membaca al-Quran dirinya ibarat seperti berada di ‘dunia vakum’, tanpa memikirkan perkara lain.
“Saya seolah-olah berada di dimensi yang berbeza. Saya dapat lupakan seketika kepenatan dari latihan, tekanan yang berada di bahu saya dan juga segala macam masalah duniawi yang tersumbat di kepala,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan dirinya turut bernazar sejurus khatam al-Quran pada Jumaat lepas iaitu sehari sebelum acara keirin bermula dan meletakkan segala perihal serta urusan perlumbaannya kepada Allah SWT.
Mohd Azizulhasni merangkul pingat perak pada final acara keirin di Veledrom Izu di Shizuoka Ahad lepas sekali gus memperbaiki pencapaian pingat gangsa dalam acara sama di Rio 2016.
Kejayaan itu menyaksikan beliau kini merupakan pelumba berbasikal trek negara paling berjaya dengan rekod satu pingat perak dan satu gangsa sepanjang empat penampilan di pentas Olimpik sejak edisi Beijing 2008.
Sumber: BERNAMA
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live