Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil memberi amaran kepada kilang dan premis yang masih berdegil melanggar operasi standard dan prosedur (SOP).

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu posting di Facebook rasmi beliau, malam semalam.

Menurutnya, menerusi laporan terkini sebanyak 180 kilang serta premis perniagaan diarah tutup kerana gagal mematuhi arahan dan SOP ditetapkan.

“Jangan cabar arahan kerajaan, ini amaran saya kepada kilang dan premis perniagaan yang masih berdegil melanggar SOP.

“Rakyat lain boleh bersabar, kenapa masih ada pihak masih berdegil dan merupakan penyumbang utama,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Jelas Ismail, beliau turut meminta bantuan rakyat supaya tampil menyalurkan maklumat.

“Saya berbesar hati kepada netizen, penduduk sekitar dan rakyat yang sentiasa memberi maklumat pada pihak berkuasa terhadap mereka yang rakus dan tamak ini,” katanya.

Sekadar info, kluster jangkitan COVID-19 di tempat kerja mendominasi jumlah penularan di Malaysia berbanding kluster lain sepanjang tahun ini.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan sebanyak 1,495 kluster tempat kerja direkodkan berbanding keseluruhan 2,605 kluster antara 1 Januari hingga kelmarin.

Penularan COVID-19 di tempat kerja itu membabitkan 134,230 kes positif bagi tempoh berkenaan, yang merangkumi 62 peratus daripada keseluruhan 214,884 kes membabitkan kluster wabak itu tahun ini.

Kluster komuniti adalah yang kedua tertinggi tahun ini dengan 644 kluster, yang membabitkan 41,865 kes, iaitu lonjakan lebih 300 peratus berbanding hanya 9,908 kes tahun lalu.