Pelakon terkenal Korea, Lee Dong Wook akui lakonannya dalam drama terbaharu berjudul Tale of The Nine Tailed sedikit berbeza berbanding Goblin.

Menurut Dong Wook, dia berusaha keras untuk menghilangkan imej Wang Yeo yang dibawa dalam Goblin.

“Secara jujurnya saya berasa sedikit tertekan untuk menunjukkan lakonan yang berbeza selain Goblin.

“Kerana drama Goblin itu sangat bagus, watak yang saya bawa itu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton sehingga mereka masih lagi ingat saya sebagai Wang Yeo.

“Disebabkan itu juga saya perlu berusaha dengan lebih keras untuk membuat penonton ingat dengan lakonan saya sebagai seorang Gumiho,” jelasnya.

BACA: “Ingatkan Perempuan, Rupanya Saya Yang Jadi Gumiho” – Lee Dong Wook

Dalam pada itu, Dong Wook mengucapkan rasa terima kasih kepada penonton yang menyukai karakternya sebagai Gumiho.

“Sebaik sahaja berita mengenai saya membawakan watak Gumiho dihebahkan, ramai yang kata saya sesuai dengan karakter itu.

“Tapi apa pun saya sangat berterima kasih dengan komen-komen positif kerana kata-kata itu merupakan antara sumber kekuatan saya.

“Walaupun adakalanya membuatkan saya berasa agak tertekan kerana bimbang lakonan saya tidak mencapai jangkaan penonton,” katanya.

Selain Dong Wook, pelakon lain yang membintangi drama berkenaan adalah Jo Bo Ah dan Kim Bum.

Tale of the Nine Tailed merupakan sebuah drama fantasi yang mengisahkan tentang gumiho lelaki bernama Yi Yeon (Lee Dong Wook) yang menetap di kota.

Seorang pengarah produksi, Nam Ji Ah (Jo Bo Ah) bertekad untuk mencari rubah jadian itu manakala Kim Bum pula memainkan peranan sebagai adik tiri Yi Yeon yang dengki dengan abangnya.

Gumiho merupakan satu makhluk mitos Korea Selatan yang terkenal. Gumiho juga digambarkan sebagai seekor rubah berekor sembilan yang memakan hati manusia untuk berubah menjadi manusia.

Jangan lupa saksikan Tale of the Nine Tailed setiap Khamis dan Jumaat, jam 9:45 malam di tvN (saluran 395).

Drama ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan iQIYI App.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai K-Drama dan dunia hiburan Korea, layari GEMPAK CHINGU

Sumber: Soompi