Baru-baru ini nama seorang dermawan yang dikenali sebagai Sultan Pemurah menjadi tular selepas memberikan hadiah mewah kepada pempengaruh TikTok, Ryan Bakery.

Disebabkan sikap pemurahnya itu juga ramai yang mula mencari siapakah gerangan lelaki dermawan di sebalik nama Sultan Pemurah ini.

Antara nama-nama yang ‘disiasat’ warganet ada juga dalam kalangan selebriti antaranya, Shuib Sepahtu dan Aeril Zafrel.

Tidak kurang juga nama anak pengasas kosmetik Datuk Seri Vida iaitu Kacak turut menjadi sebutan.
Berpeluang bertemu dengan Ryan selepas program MeleTOP bersiaran pada Selasa, Gempak terus bertanyakan hal tersebut kepada Ryan.

Kata Ryan, dia sendiri ada mencari Sultan Pemurah dan telah bertanyakan hal tersebut kepada Shuib namun pelawak itu menafikannya.

“Saya ada cari, viewers ada bagi beberapa nama antaranya Shuib. Saya jumpa Shuib dan terus tanya dengan dia, betul ke abang Sultan Pemurah?

“Dia sampai nafikan, dia kata bukan. Jenuh saya cuba. Sebenarnya ramai lagi yang mereka kata tapi saya tak dapat nak cari,” katanya.

BACA: [VIDEO]: "Ya Allah..."- Ryan Bakery Tergamam Dapat Gift Luar Biasa! Bila Check Rupanya Bernilai Lebih RM1049

Mengulas mengenai hadiah tersebut, Ryan sendiri tidak menyangka individu itu sanggup menghabiskan wang untuk memberikannya hadiah berupa Singa yang bernilai RM1,049.90 setiap satu.

“Memang saya tak jangka, namanya Sultan Pemurah. Tapi semua yang berlaku itu memang saya tak tahu. Ada orang kata saya ni macam nak raih view yang tinggi, bayar orang buat itu.

“Saya rasa macam buat apa saya nak buat benda tu. Saya memang selalu live, suka sembang dengan viewers sebab seronok tapi saya tak sangka apa yang jadi pada malam itu dan benda tu orang rekod, jadi viral.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana tapi itulah orang nak berkongsi rezeki, jadi bila orang dah berkongsi dengan saya tinggal saya pula berkongsi dengan orang lain,” jelasnya.


Terdahulu, selepas mendapat hadiah daripada Sultan Pemurah, Ryan terus menghubunginya menerusi aplikasi Tiktok.

Apa yang menjadi perhatian adalah suara Sultan ketika berbicara dengan Ryan sedikit sebanyak sama seperti Shuib.

Untuk info, setiap kali nama Sultan Pemurah muncul di mana-mana live di TikTok seseorang, pasti akan ada hadiah istimewa yang diberikan kepada individu tersebut.

Hadiah diberikan juga bukan biasa-biasa, selepas warganet ‘menyiasat’ jumlah gift yang diberikan, ternyata ia mencecah hingga ribuan ringgit.