Penyanyi yang popular dengan lagu Cute, Harith Zazman merancang untuk berkahwin dalam tahun ini.

Menurut Harith, antara persediaan yang akan dilakukan adalah belajar dan bertanya kepada bapanya sendiri mengenai hal berkaitan dunia rumah tangga.

"Insya-Allah, saya rancang kahwin tahun ini, bab kesediaan nak bergelar suami, sebenarnya saya takut juga, tapi kena juga bersedia.

"Apapun saya akan belajar dahulu, saya akan tanya bapa saya macam mana nak jadi ayah yang baik," katanya kepada Gempak.

Tambah Harith, dia tidak berasa terbeban sekiranya pandemik COVID-19 masih belum berakhir dan pematuhan SOP harus dipatuhi ketika tarikh perkahwinannya nanti.

"Saya okay sahaja kalau majlis kahwin harus ikut SOP yang ditetapkan.

"Tetapi saya fikir juga tentang ibu bapa saya, kalau keadaan mengizinkan, mereka teringin bawa saudara mara dan rakan-rakan.

"Kalaulah pandemik ini berakhir cepat dan orang boleh datang beramai-ramai ke majlis perkahwinan, saya pun gembira juga," katanya lagi.

Kata Harith, tunangnya ada memberi bayangan tentang hasrat mengadakan perkahwinan impian atau dream wedding.

Sebagai bakal suami, sudah tentu penyanyi berusia 27 tahun ini mahu menjadikan impian itu satu kenyataan, namun Harith sedar mereka harus melihat kepada keadaan semasa.

"Tunang saya ada beri hint tentang dream wedding yang dia mahu, pada masa yang sama, dia pun sedar kemungkinan apa yang diimpikan itu tidak boleh dilakukan disebabkan pandemik ini.

"Jadi, apapun, kami harus lihat keadaan dari semasa ke semasa sebelum melakukan apa-apa perkara," tuturnya menutup bicara.

Terdahulu, Harith dan pilihan hatinya, Nuramalina Ghakashah mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang berlangsung di Serendah, Hulu Selangor pada Sabtu.

BACA : Harith Zazman 'Stop Lah Being So Cute' Bertunang Dengan Kekasih Hati