Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menafikan dakwaan orang ramai bahawa pihaknya menggunakan data peribadi untuk didaftarkan sebagai anggotanya secara automatik tanpa mendapat kebenaran.

Perkara itu dimaklumkan Rela menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, erbuatan itu bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

"Merujuk kepada Seksyen 7(1) Pendaftaran sebagai anggota Rela, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) tahun 2012 menyatakan bahawa warganegara berumur 18 tahun ke atas dan bukan anggota tentera boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota.

“Selain itu Seksyen 5(1) Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 Peraturan-Peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966 Pindaan 1 Februari 2005 (telah dibatalkan) menyatakan setiap lelaki yang mencapai umur 18 sehingga 55 tahun hendaklah berkhidmat dalam Rela.

"Jabatan ini mengambil maklum kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenalpasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuatkuasa," katanya.

Tambah Rela, pihaknya juga juga dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan di mana anggota yang tidak aktif mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.

"Walau bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta ini digantung sementara kerana Rela sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak Covid-19," kata kenyataan itu.

Terdahulu, netizen mempersoalkan sistem Rela selepas semakan keanggotaan mendapati ada yang menjadi anggota jabatan itu tanpa pengetahuan.

Kebanyakan mereka bagaikan bingung memikirkan bagaimana nama beserta maklumat peribadi itu boleh terpapar dalam laman web berkenaan.

Menerusi pemantauan Gempak, orang ramai mula mengetahui mengenai perkara itu selepas pautan laman web Rela dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp dan beberapa platform media sosial.