Laman Utama
Rina Harun Gesa Siasatan Wanita Diganggu Polis, Netizen Berang Menteri Lambat Bertindak
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun menggesa siasatan dilakukan terhadap dakwaan wanita diganggu oleh polis dalam sekatan jalan raya (SJR) baru-baru ini.
Menurutnya, jika terbukti bersalah, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pelakunya.
“Perbuatan terkutuk ini sama sekali tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi jika ia melibatkan anggota penguatkuasa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Tambah beliau, dalam mengendalikan isu gangguan tersebut, semua pihak diharap saling menghormati dan tidak mempersoalkan kredibiliti keseluruhan institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah banyak berkorban dalam memastikan keselamatan negara.
"Usahlah kita menghukum ibarat kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya.
Di laman Twitter, kenyataan daripada Rina tersebut turut mengundang pelbagai reaksi wargamaya apabila ada yang mendakwanya lambat bertindak gara-gara memberi tumpuan pada sesi fotografi terbaru.
“Tak rasa bersalah langsung ye Rina Harun buat photoshoot tukar-tukar baju melawa macam model di tengah-tengah krisis sebegini. Riak muka tu, tak ada secebis pun rasa tak selesa. Nampak enjoy lagi,” komen seorang wargamaya.
“Seronok Rina Harun fefeeling model when there are kids starving & dying, women being domestically abused & raped,” kata seorang wargamaya.
“Akhirnyaaa selepas dikeji dia media sosial........” tulis seorang wargamaya lagi.
Minggu lalu, seorang wanita mendakwa diganggu secara seksual oleh polis di Sekatan jalan raya Jalan Duta.
Menurutnya, polis berkenaan bertanyakan sama ada dia memakai coli atau tidak, selain memberi jaminan tidak akan mengeluarkan saman jika wanita berkenaan membuktikan memakai coli atau sebaliknya.
Dalam satu lagi kejadian di Pulau Pinang, seorang anggota polis menghubungi wanita yang baru diperiksanya ketika melalui SJR dengan tujuan ingin berkenalan.
KPWKM sedia membantu dan salurkan aduan sekiranya wanita berhadapan dengan sebarang bentuk gangguan seksual, sama ada secara lisan, perbuatan atau pelbagai isyarat oleh pelaku melalui Talian Kasih 15999 dan talian Whatsapp 019-261 5999 yang beroperasi 24 jam.
Must-Watch Video