Pelakon Isa Khan, 28, menarik nafas lega apabila majlis perkahwinannya dengan aktres Risteena Munim, 32, berjalan dengan lancar semalam selepas terpaksa ditangguhkan disebabkan pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Isa atau nama sebenarnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan berkata hanya 15 orang tetamu sahaja yang hadir iaitu dalam kalangan keluarga ketika majlis akad nikah.

"Alhamdulillah... akhirnya kami selamat diijab kalbulkan pada pagi semalam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

"Ikutkan perancangan kami memang nak bernikah pada tahun lalu tapi PKP pula. Saya bersyukur majlis pernikahan berjalan dengan lancar.

"Acara akad nikah tadi pun mengikut SOP dan hanya 15 orang sahaja tetamu iaitu ahli keluarga," katanya.

Tambah adik kepada aktor Miller Khan, dia menunaikan permintaan Risteena dengan menyerahkan wang hantaran sebanyak RM32,000.

"Untuk kahwin saya beri RM1000 manakala wang hantaran adalah RM32,000.

"Jumlah wang hantaran itu merupakan simbolik usia Risteena pada tahun ini iaitu 32 tahun. Wang hantaran itu merupakan atas permintaan dia juga," katanya kepada Gempak.

Isa dan Risteena ditemui ketika majlis resepsi yang diadakan bersama keluarga dan rakan media di Ballroom, Quill City Mall, Kuala Lumpur pada malam, Jumaat.

Dalam pada itu, pemilik nama Nur Risteena Munim Zainul Ilyas mengakui menerima pertanyaan daripada netizen yang mempersoalkan apabila mereka tidak meneruskan majlis akad nikah yang boleh diadakan di pejabat agama pada tahun lepas.

Kata kakak kepada Ruhainies ini, Isa memang berniat untuk menghalalkan hubungan secepat mungkin namun mereka juga sudah mempunyai perancangan sendiri.

"Ikutkan nak kahwin tahun lalu tapi PKP pula... memang waktu itu boleh nikah di pejabat agama tapi kami sudah mempunyai perancangan. Isa pun memang nak halalkan saya secepatnya yang mungkin.

"Tapi kenapa kami perlu nikah atas disebabkan orang lain yang suruh. Ia akan membuatkan kita sendiri tak gembira. Kita nak kahwin dengan suasana yang happy dan berkongsi momen indah bersama keluarga.

"Alhamdulillah... dapat juga kami kongsi dalam majlis yang sederhana macam malam ini. Ikutkan nak akad nikah dekat masjid saja tapi kebetulan kerajaan umum dah boleh buat majlis... memang rezeki kami," katanya lagi.

Isa dan Risteena telah selamat menjadi pasangan suami isteri, hanya dengan sekali lafaz di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

BACA: Hanya Sekali Lafaz... Risteena & Isa Khan Sah Jadi Suami Isteri

Pasangan sejoli ini telah mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 ketika bercuti di Bali, Indonesia.