Laman Utama

Sakti Seorang Penghibur Genius, ‘Sihir’ Gendang Pati M Nasir Menjadi

gempak
Maliah Surip
20/11/2023
12:55 MYT
Sponsor Banner
Sakti Seorang Penghibur Genius, ‘Sihir’ Gendang Pati M Nasir Menjadi
Tidak ada perkataan yang lebih baik untuk merumuskan tentang Konsert Gendang Pati, Datuk M Nasir Live In Kuala Lumpur selain ‘pernikahan sempurna’.
Untuk seorang genius muzik, meastro lalu digelar sifu, M Nasir tahu bagaimana menyihir peminat dengan sebuah persembahan pentas yang tidak klise.
M Nasir mengekalkan kefahaman penonton tentang nikmat menonton konsert secara langsung merangkumi susunan muzik baharu, permainan instrumen yang penuh lalu dipentaskan penuh megah layaknya seorang penonton menonton konsert bukan mendengar muzik yang serupa seperti dalam kaset, cakera padat (CD) atau penstriman seperti Spotify.
Apabila beliau dan penganjur MND Sport & Event Sdn Bhd dengan diterbitkan Roman Abadi Sdn Bhd memilih judul konsert sebagai Gendang Pati, elemen atau paduan gendang itulah yang diperkasa —- seolah menjadi pemandu kepada perjalanan penuh warna dan menarik yang disempurnakan M Nasir.
M Nasir dan tim pemuzik hebat iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram) menikah lalu bersanding manis dengan pemain perkusi, Paang, Mat Din, Che Long dan Anas serta Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan bersama penyanyi latar, Eja, Widy, Yuaz dan Awe.
Repertoire lagu yang dipersembahkan dari genre Nusantara, Inang, Joget sehingga segmen ‘Leman’ membuat penonton terlupa usia penghibur yang sedang berpesta di atas panggung Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu sudah 66 tahun.
Energi dan stamina M Nasir masih hebat. Lantunan vokal maskulin seorang lelaki milik M Nasir masih memukau sehingga ada pada lagu-lagu seperti Secangkir Kopi Semanis Puan dan Hijab Kekasih misalnya, penonton memilih diam — menyanyi di dalam hati barangkali demi menikmati lunaknya suara beliau.
Namun saat tembang seperti Tanya Sama Itu Hud Hud, Sentuhan Listrikmu, Kias Fansuri, Apokalips, Ada dan Mentera Semerah Padi juga Sahabat Gua didendangkan, hampir kesemua 2,800 penonton sudah lepas laku —- menyanyi dan berjoget meninggalkan tempat duduk yang tersedia.
Itu belum lagi saat M Nasir membawa penonton masuk ke terowong masa dan memperkuatkan lagi kefasihannya dalam mencipta lalu membuat sesebuah karya menjadi hit apabila menyampaikan Gadisku, Pawana, Fantasia Bulan Madu, Hukum Karma, Setahun Sudah Berlalu, Kabut Serangkai Mawar dan Tiara yang disifatkan beliau sebagai ‘terpaling Leman’ bertukar menjadi medan karaoke.
Momen paling menangkap (secara peribadi buat penulis) adalah sewaktu lagu Langgam Pak Dogo dipersembahkan. Saat ini permainan semua instrumen terutama perkusi mengambil alih pentas, menyihir penonton dengan ‘pertarungan’ perkusi dan bait bait loghat Kelantan yang disampaikan menyaksikan betapa kayanya budaya Melayu lalu disalurkan dalam medium hiburan.
Di sinilah dia Gendang Pati mencapai makna di sebalik sekadar hiburan semata-mata. Ia secara tidak langsung menjadi pentas pembelajaran dan sekolah percuma yang sangat berkelas di atas tiket menonton konsert.
Kehadiran kumpulan koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices mengalunkan Bagaikan Sakti bersama M Nasir pula menyaksikan penerimaan karya beliau bersifat universal kerana diterima kaum lain lalu dijadikan rujukan anak sekolah yang berminat dengan seni muzik.
Bijaksana seorang M Nasir juga tidak pernah terlepas pandang mengenai situasi semasa yang disampaikan menerusi caranya sebagai seorang seniman.
Membuka Gendang Pati dengan Phoenix Bangkit lalu menutupnya menerusi lagu berjudul Masirah yang mengangkat kisah kesengsaraan kerana kekejaman rejim zionis di Gaza bersama bacaan doa qunut nazilah serta bacaan puisi sebagai tanda solidariti dan dedikasi buat rakyat Palestin telah menjadikan konsert ini seperti sebuah pementasan teater dengan babak-babak yang disusun kemas.
Lalu apa lagi yang mahu dikatakan tentang M Nasir dan kecerdikannya yang tidak ada dua. Karyanya yang sarat makna, sinikal juga santai dan saat melakukan sebuah persembahan ia sesungguhnya sebuah persembahan yang tidak tipikal.
Maka rugilah buat karyawan seni, pemuzik, penyanyi generasi kini yang tidak terlintas mahu menimba ilmu atau sekurangnya memerhati dengan lebih dekat kerja-kerja yang dilakukan M. Nasir.
Dan semoga Gendang Pati menjadi konsert rujukan buat penyanyi yang teruja mengadakan konsert tetapi piawaiannya sama seperti melakukan persembahan di minggu setiausaha.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live