Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi mencuri tumpuan warganet.

Menerusi satu video dimuat naik oleh laman Twitter ini, Seri Paduka Baginda secara spontan menuruni anak tangga singgahsana untuk mengurniakan darjah kebesaran kepada Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod.

Disebabkan keadaan Abd Latif yang tidak sihat serta bertongkat, Seri Paduka Baginda berkenan untuk turun mengurniakan darjah kebesaran tersebut.

Tindakan Seri Paduka Baginda itu membuat ramai warga Twitter terpesona dan kagum.

"Daulat Tuanku. Yang di-Pertuan Agong dan kerabat kali ini telah meletakkan satu standard yang cukup tinggi sebagai Ketua Negara. Pasti akan dikenang sampai bila-bila," kata @AzizAziz

"Daulat Tuanku. Tetap menghormati yang tua walaupun dia Agong," kata @zieyendon.

"Bersyukur dikurniakan Yang di-Pertuan Agong yang punyai sifat mulia yang patut dijadikan contoh teladan," kata @Nuramira85
Terdahulu, seramai 795 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat penganugerahan itu adalah pertama selepas Seri Paduka Baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh gilang gemilang di Istana Negara pada 30 Julai lepas.