Laman Utama
"Saya Bukan Cross-Dresser"
Pemuda yang tular dengan gaya pakaian unik dan luar kotak ketika 1 Syawal baru-baru ini, Muhammad Faddrullah Ismail menegaskan dirinya bukan cross dresser (aksi berpakaian bertentangan dengan jantina).
Kata Faddrullah menerusi hantaran di Facebooknya baru-baru ini, susulan foto-fotonya berfesyen dalam persalinan luar biasa itu, dia hanya melakukannya atas dasar suka-suka.
"Jangan salah anggap. Saya cuma suka meraikan atau memakai sesuatu yang luar kebiasaan setiap kali Aidilfitri.
"Bagaimanapun, jangan fikir saya seorang cross-dresser. Ia hanya untuk suka-suka. Chill semua dan sambutlah Syawal tanpa ada prejudis," tulisnya.
Faddrullah yang berkhidmat di sebuah hotel terkemuka menjadi topik bualan warganet apabila tampil dengan beberapa busana luar kotak ketika perayaan Aidilfitri.
Antara busana yang mencuri perhatian ialah baju Melayu yang diperbuat menggunakan fabrik sifon dan renda berwarna warni.
Memetik laporan Harian Metro, pakaian yang digayakan itu dijahit khusus sempena Aidilfitri untuk kepuasan sendiri dan bukan demi content di media sosial.
Dia juga masih punyai koleksi baju Melayu teluk belanga dan cekak musang yang selesa digayakan untuk acara formal dan bukan Aidilfitri.
Pemegang Diploma Seni Reka Fesyen dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga mula menjahit baju rayanya sendiri sejak 2013 lagi.
Manakala, kos yang dibelanjakan untuk setiap persalinan bergantung pada fabrik yang digunakan, biasanya dianggarkan lebih RM2,000 untuk sepasang baju.
Must-Watch Video