Laman Utama
"Saya Jenis Suka Bercakap & Bergembira" - Shiha Zikir Mahu Lebih Peluang Mengacara
Selebriti versatil, Shiha Zikir berharap agar mendapat lebih banyak peluang mengacara selepas ini.
Menurut Shiha, bidang pengacaraan dirasakan sesuai dengan perwatakan dirinya yang ceria dan suka bercakap.
"Saya harap akan dapat lebih banyak lagi peluang mengacara selepas ini.
"Saya ni jenis yang suka bercakap dan bergembira, kalau program hiburan lagilah saya suka.
"Apabila kita lakukan perkara yang kita suka, kerjalah sehari suntuk pun okay asalkan ia menggembirakan kita," kata penyanyi lagu AEWO ini.
Shiha berkata demikian ketika ditemui di rakaman sebuah program televisyen pada Ahad.
Difahamkan, Shiha bakal tampil dalam sebuah program di Astro Prima bersama Norman Hakim tidak lama lagi.
Menariknya, program di bawah anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu bakal menyuntik elemen keseronokan menerusi pemilihan Shiha sebagai pengacara.
"Apa yang saya lihat sekarang ini, program yang sepatutnya serius pun sudah mula menyuntik elemen keseronokan seperti yang kita lihat dalam program hiburan.
"Terbaru, saya dipilih untuk mengacara bersama Norman Hakim dalam sebuah program TV di Astro Prima di bawah PERKESO, ia program yang memberi informasi yang kalau kebiasaannya berbentuk serius.
"Tetapi saya dipilih kerana pihak produksi mahu menyuntik elemen keseronokan dalam program itu, saya sangat gembira kerana program yang serius pun sudah mahukan kelainan dengan memasukkan sedikit elemen hiburan," katanya lagi.
Tambah Shiha, dia tidak kisah untuk menceburi pelbagai bidang hiburan namun nyanyian tetap menjadi keutamaan dalam kerjayanya.
"Saya tak kisah dengan rezeki Allah beri kepada saya dalam bidang hiburan ini kerana saya punya minat yang mendalam.
"Apa yang orang ramai sudah lihat itu adalah apa yang telah saya lakukan sehabis baik.
"Saya okay saja untuk berlakon, mengacara dan sebagainya, tapi apapun, nyanyian tetap nombor satu," tuturnya menutup bicara.
Must-Watch Video