Pelakon Nazim Othman nafi melihat Syamsul Yusof sebagai rujukan kepada karekter Darius yang dilakonkan dalam drama bersiri premium, KUASA.

Malah kata Nazim, dia sendiri tidak mengenali atau berjumpa dengan Syamsul secara peribadi.

“Saya tak kenal Syamsul personally dan malah tak pernah bercakap panjang dengan dia.

“Jadi saya tidak merujuk sesiapa untuk membawa watak Darius dan ia bukan berdasarkan karekter Syamsul,” jelasnya kepada Gempak.

Terdahulu, KUASA pernah dikaitkan dengan keluarga produser Skop Production yang juga produser drama itu iaitu Datuk Yusof Haslam.

Namun Yusof sendiri menafikannya sebaliknya tidak menolak sedikit sebanyak KUASA ada persamaan dengan latar belakang keluarganya.

Mengulas lanjut mengenai karekter Darius, Nazim hanya bermain dengan imaginasinya sahaja untuk watak tersebut.

“Saya tiada reference. Saya bawa watak itu dengan imaginasi saya sendiri. Percaya ada satu karekter lain yang pastinya bukan diri kita untuk cuba jadi orang lain.

“Saya ciptakan satu karekter yang mempunyai cara cakap dan jalan yang berbeza dari diri saya sendiri,” beritahunya.

Saksikan KUASA yang mengetengahkan kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan yang hidup penuh dengan glamor, kemasyhuran, kerakusan kuasa dan pengkhianatan.

Astro Originals ini membariskan gabungan pelakon senior dan baru seperti Nazim Othman, Nadia Brian,Ridzuan Hashim, Ning Baizura, Dazrin Kamarudin, Izzy Reef, Nia Atasha, Alicia Amin, Syanie Hisham dan Azri Iskandar.

KUASA menceritakan kehidupan sebuah keluarga penerbit terkemuka yang amat berpengaruh dan hidup dalam kemegahan, bersama tiga orang anak yang bakal mewarisi legasinya. Setiap ahli keluarga mempunyai agenda masing-masing demi menguasai empayar.

Saksikan KUASA yang bakal ditayangkan di saluran Astro Citra setiap hari Isnin pada jam 9.00 malam, bermula 11April ini. Anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.