Hiburan
"Saya Tak Letak Harapan Untuk Menang" - Siti Nordiana
Penyanyi Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana tidak meletakkan harapan untuk memenangi mana-mana kategori dalam Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Menurut Nana yang tercalon dalam empat kategori anugerah itu, dia menyerahkan kepercayaan kepada para peminat untuk mengundi.
"Saya tak meletakkan harapan, saya serahkan semuanya kepada peminat saya, itu adalah kuasa mereka untuk mengundi saya.
"Semua peminat saya berasa teruja dengan pencalonan dalam AME 2020 ini, kadang-kadang mereka lakukan promosi tanpa disuruh oleh saya.
"Saya sendiri juga akan buat hebahkan di media sosial mengenai pencalonan saya kerana itu adalah satu ikhtiar saya sebagai seorang artis, selebihnya itu adalah soal rezeki sahaja.
Dalam pada itu, Nana menambah, dia sentiasa menjadi diri sendiri dan menjaga hati peminat kerana mereka amat menyayangi dirinya.
"Saya sudah ada peminat sejak zaman awal kemunculan, kemudian setelah saya buat 'comeback' mereka masih kekal dan ada pertambahan anggota baru.
"Sejujurnya, saya tak sangka mereka sangat menyanyangi saya, apa yang saya harus lakukan adalah sentiasa menjadi diri sendiri dan menjaga hati mereka," katanya lagi.
Nana telah berada dalam senarai top 5 pencalonan bagi kategori Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP, Artis Versatil MeleTOP dan Grup/Duo MeleTOP (bersama Khai Bahar).
Dengan tagline ‘Yang Epik, Yang Legend’, AME2020 bakal bersiaran secara langsung pada Ahad, 21 April 2020, jam 9:00 malam bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.
AME2020 akan bersiaran secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Istimewa kali ini, pelanggan Astro yang memiliki dekoder Ultra Box boleh menyaksikan AME2020 daam format resolusi kualiti 4K UHD.
Untuk pilihan lebih fleksibel, AME2020 turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand.
Must-Watch Video