Hiburan

Search Rakam Lagu Raya Pertama, Sujud Aidilfitri Simbolik Muhasabah Diri, Renung Khilaf

gempak
Maliah Surip
01/04/2024
12:27 MYT
Sponsor Banner
Search Rakam Lagu Raya Pertama, Sujud Aidilfitri Simbolik Muhasabah Diri, Renung Khilaf
Tidak pernah mengeluarkan karya khas sempena hari kebesaran seperti Aidilfitri bukan bermakna kugiran gergasi dan legenda tanah air, Search enggan ikut serta meramaikan pasaran dengan lagu sedemikian.
Ironi, usia lebih tiga dekad Search meski tanpa kelahiran lagu Raya juga sudah cukup bermakna buat peminat.
Namun, 2024 menjadi tahun bersejarah buat Search dan peminat apabila kugiran yang dianggotai Datuk Amy, Nasir, Man Kidal dan Hillary ini terbit dengan karya perdana sempena meraikan hari kemenangan umat Islam.
Sujud Aidilfitri menjadi karya Aidilfitri ulung yang akhirnya diterbitkan Search sempena merayakan bulan penuh berbahagia ini.

BERITA TRENDING: Pernah Diharamkan Beraksi, Singapura ‘Dilanggar’ & Ditawan Search

Tidak meninggalkan kentalnya genre rock dan balada serta ciri khas vokal Amy yang sudah sebati dengan Search menerusi lagu-lagu yang telah dihasilkan sejak lebih 30 tahun lalu, Sujud Aidilfitri juga dibalut dengan nuansa serupa.

BERITA TRENDING: Konsert Search: Fantasia Bulan Salju Bawa Peminat Pulang Ke Masa Silam, Beri Definisi ‘Berkelas’

Tidak ada yang extravangaza mengenai Sujud Aidilfitri namun mesej yang ingin disampaikan Search kepada seluruh pendengar sampai menerusi bait lirik yang dihasilkan.
“Sujud Aidilfitri memiliki lirik yang lebih menyentuh dan beremosi sesuai dengan suasana Hari Kemenangan itu sendiri.
“Lirik dalam Sujud Aidilfitri lebih bersifat kepada muhasabah diri, merenung kekhilafan yang telah dilakukan seterusnya dengan rendah hati memohon kemaafan.
“Ini Aidilfitri, hari kemenangan dan 1 Syawal secara tradisi dimulakan dengan bermaafan sebelum umat Islam menyambutnya dengan penuh bahagia.
“Inilah yang disampaikan dalam Sujud Aidilfitri. Sebuah sengketa dapat terhapus dengan satu kemaafan yang sejati,” ujar vokalis Search, Amy.
Menurut Search lagi, keputusan merakamkan Sujud Aidilfitri adalah sebagai sebuah usaha menghidupkan budaya memiliki lagu raya yang semakin jarang dirakamkan kerana pendengar lebih memilih mendengar lagu raya lama yang bersifat malar segar.
“Tidak dinafikan saban tahun akan ada lagu raya baharu dirakamkan tetapi dengan genre atau suasana lagu yang lebih cenderung meriah atau bersifat keraian.
“Jadi Search memilih nuansa yang lebih kental dari melodi dan liriknya sesuai dengan kematangan kami,” ujar pemain bass, Nasir pula.
Sujud Aildilfitri diilhamkan sepenuhnya oleh Jun dan Search dengan Rie Tsuji menghulurkan kepakaran sebagai arranger, Rozhan (mixing & mastering).
Dipasarkan oleh Universal Music, Sujud Aidilfitri yang kini sudah mula boleh didengari di corong radio turut memiliki klip video yang dijalankan di Terengganu.
“Search amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu kerana kolaborasi yang terjadi untuk melancarkan klip video Sujud Aidilfitri.
“Kami sengaja memilih Terengganu kerana mahu memiliki suasana desa, damai dan bersesuaian dengan keseluruhan konsep lagu Sujud Aidilfitri,” ujar Search mengenai klip video yang diarahkan oleh Datuk M. Razlan Ismail.
Jangan terlepas untuk mendengarkan Sujud Aidilfitri di semua corong radio atau platform digital dan klip video juga boleh ditonton di laman YouTube Universal Music.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024