Laman Utama
“Sebagai Penyanyi Nombor Satu Malaysia, Saya Rasa Saya Layak” – Aliff Syukri Impi Duet Bersama Siti Nurhaliza
Selepas ‘kejayaan’ lagu Baby Sayang yang menjadi trending di YouTube, usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri mengidamkan untuk berduet pula dengan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut Aliff yang menganggap dirinya sebagai penyanyi lelaki nombor satu negara, dia merasakan tidak salah untuk bergandingan dengan Siti.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian lagu-lagu saya yang semuanya trending nombor satu, maka saya lebih yakin untuk buat banyak lagi lagu pada masa akan datang.
“Untuk pengetahuan semua juga, sebagai seorang penyanyi lelaki nombor satu Malaysia, saya rasa saya layak dan berharap dapat berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Saya memang meminati Siti dan juga lagu-lagu beliau.
“Seandainya pihak Datuk Siti membaca luahan saya ini, saya sangat terbuka hati dan menerima baik untuk dapat duet bersama beliau,” katanya kepada Gempak ketika ditemui baru-baru ini.
Bercakap tentang keceman teruk yang dilemparkan kepadanya, Aliff berkata dia tidak mahu mencetuskan sebarang pergaduhan atau perbalahan dengan sesiapa meskipun adakalanya berasa sedih.
Malah Aliff menganggap setiap individu berhak untuk melontarkan pandangan masing-masing.
“Ramai mengutuk tapi ramai juga yang memuji. Manusia ini seperti roda, ada waktunya naik, ada waktunya turun, begitu juga dengan saya dan usia saya pun dah semakin meningkat jadi tidak elok untuk bergaduh dengan sesiapa pun.
“Saya hanya rindu untuk menunjukkan bakat saya, sebab itu saya buat lagu. Bila ada segelintir yang memuji itu yang membuatkan saya rasa seronok dan ingin teruskan untuk membuat lebih banyak lagu lagi.
“Walaupun kadang kala sedih bila orang kutuk, namun sebagai seorang manusia, saya tidak menghalang orang di luar sana untuk menilai kerana mereka mempunyai pandangan mereka sediri,” tambah Aliff.
Terdahulu, Gempak melaporkan Aliff sedih dan terkilan apabila rakyat Malaysia tidak menghargai bakat nyanyianya sehingga dia berangapan orang di luar sana akan menghargai bakatnya apabila dia sudah meninggal dunia.
Must-Watch Video