Aktres jelita, Che Puan Juliana Evans akui berasa sebak apabila mengenangkan golongan ibu yang kurang bernasib baik ketika membesarkan anak.

Menurut Juliana, perasaan itu semakin kuat muncul dalam dirinya selepas dia melahirkan anak pertamanya, Tengku Kamiliah Shariffuddin pada Julai lalu.

"Sejak melahirkan anak, saya selalu rasa sebak apabila memikirkan nasib golongan ibu yang kurang bernasib baik dalam membesarkan anak-anak.

"Ada yang membesarkan anak berseorangan, ada yang terpaksa menghadapi kemiskinan, ada juga yang harus bekerja jauh dan meninggalkan anak,"
katanya kepada Gempak.

Juliana berkata demikian di majlis cukur jambul dan berendoi Tengku Kamiliah bertempat di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang semalam.

Dalam pada itu, Juliana turut merasakan setiap ibu di dunia ini sangat kuat mengharungi kehidupan.

"Saya tahu wanita sememangnya kuat, tapi sejak bergelar ibu, saya lebih memahami dan merasakan setiap ibu di dunia ini sangat kuat dalam mengharungi kehidupan," tambahnya.

Terdahulu, Juliana mendirikan rumah tangga bersama Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj pada April 2017.

Dalam industri hiburan, pemilik nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans ini mulai aktif pad tahun 2001 dan berjaya membina popularitinya sehingga kini.