Nama graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Liyana Athirah Izani tiba-tiba menjadi sebutan gara-gara skrol kursus Diploma Sains yang digenggam merupakan skrol ke sejuta yang dikeluarkan oleh institusi itu.

Tidak hanya peristiwa itu kini tercatat dalam Malaysia Book of Records, malah Liyana turut menerima habuan lain yang tidak pernah diterima oleh mana-mana graduan UiTM sebelum ini.

Usai majlis konvokesyen, gadis berusia 22 tahun itu membawa pulang sebuah motosikal yang bernilai RM5,397. Dalam masa sama, dia turut menerima sepasang cermin mata La Callisto bernilai RM1,500, penginapan di Grand Swiss-Belhotel Melaka Melaka dan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Lebih istimewa, Liyana dapat menyambung pengajian ke peringkat ijazah di UiTM dengan percuma!



Memetik laman sosial UiTM, anak kelahiran Bachok, Kelantan tidak mengetahui dirinya adalah penerima skrol ke sejuta. Pun begitu, sebelum istiadat berkenaan, gadis bertuah ini menzahirkan rasa gugup.

“Saya tidak tahu ketika mula datang (untuk menghadiri istiadat konvokesyen) tadi saya berasa sangat nervous.

“Dengan penganugerahan skrol ke sejuta, ini bermakna UiTM boleh menghasilkan ramai graduan yang memasuki pasaran kerjaya.

“Saya sangat berbangga menjadi salah seorang daripadanya. Sebagai bukti UiTM mampu menghasilkan sejuta graduan, sayalah warganya,” ujar Nur Liyana.

Dalam pada itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya sangat berbangga dapat meraikan penganugerahan skrol ke sejuta pada konvokesyen kali ini.

“Ini menjadikan jumlah skrol dikeluarkan UiTM sehingga berakhirnya majlis istiadat konvokesyen kali ini adalah sebanyak 1,003,241 skrol.

“Ia satu angka yang boleh dibanggakan kerana mencerminkan UiTM telah menggerakkan misinya dengan tepat untuk menjuarai pembangunan Bumiputera profesional menerusi kurikulum paling hadapan dan penyelidikan berimpak,” katanya.

Untuk rekod, Istiadat konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang ke-97 berlangsung pada 5 Ogos hingga 15 September 2023.

BACA: Bangga Potret Wajah Digantung Di Dinding Universiti, Azhar Sulaiman Rasa Dihargai​

BACA: "Kita Perlu Tempat Untuk Bercerita, Kaunseling Untuk Kurangkan Stress & Depresi" - Rita Sosilawati Lancar Pusat 'Are You Okey' Di UiTM​