Pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, 56, memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik selepas selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung, Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 2 Disember lalu.

Pemilik nama Mohd Hakim Lokman itu berkata, seluruh anggota badan lebih stabil selepas menjalani pembedahan itu. Ini membuatkannya, boleh berfikir secara rasional.

Bagaimanapun, katanya, dia perlu mendapatkan rawatan susulan di HSB, Alor Setar setiap dua minggu, selain doktor menyarankannya menurunkan berat badan sebanyak sekilogram sebulan bagi mendapatkan berat seimbang iaitu 85 kilogram (kg).

"Saya perlu menjaga pemakanan dan mengelak mengambil makanan berminyak, masin dan bergula untuk kesihatan jantung.

"Bagi memastikan kadar denyutan jantung stabil, saya perlu perlu menggunakan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) yang dipasang di bahagian dada dan ianya akan ditukar setiap enam tahun sekali, seumur hidup," katanya kepada BH Online.

Penulis lirik lagu berhantu, Isabella dan Taman Rashidah Utama itu berkata, kos rawatan susulan ditanggung sepenuhnya oleh HSB. Dia hanya mengeluarkan perbelanjaan menanggung kos penginapan dan perjalanan pergi serta balik setiap kali rawatan susulan.

"Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave menghubungi saya dan akan menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM500 dalam tempoh masa terdekat ini.

"Alhamdulillah, dapatlah saya menggunakan bantuan yang diberikan untuk menampung keperluan keluarga. Ini kerana saya perlu rehat yang mencukupi selama tiga bulan.

"Beban ditanggung juga sedikit sebanyak ringan apabila yuran pengajian tiga cahaya mata berusia antara 11 hingga 14 tahun yang belajar di pusat tahfiz menerima bantuan bulanan RM300 setiap seorang," katanya.

Katanya, dia juga akan meneruskan perniagaan menjual dan mengambil tempahan membuat laksa bersama isterinya, Relawati Daud, 42, untuk menampung keperluan sekeluarga selepas kembali sembuh.

Bob ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid menerusi program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 di kediamannya di Kampung Demit, Kubang Kerian, Kelantan, petang semalam.

Dalam masa sama, Bob turut dikunjungi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Selain Bob, menerusi program Ziarah FINAS Prihatin 2.0, rombongan FINAS turut menziarahi penyanyi yang popular menerusi lagu Nasi Dagang, Rosemaria di kediamannya di Jalan Sultanah Zainab.

Sementara itu, Zakaria bersyukur Bob selamat menjalani pembedahan hampir dua minggu lalu.

Sumber: Berita Harian