Penyanyi Hazama berkongsi kenangan bekerjasama dengan Allahyarham Pitt Hanif ketika menjalani penggambaran filem Coast Guard arahan pengarah tersebut.

Menurut Hazama, dia banyak berbual dengan Pitt pada hari terakhir penggambaran filem berkenaan.

"Saya banyak berbual dengan arwah pada hari terakhir peggambaran Coast Guard, sebelum itu kami jarang berbual kerana masing-masing sibuk menumpukan perhatian pada kerja.

"Pitt memang suka memancing dan banyak berbual tentang aktiviti memancing, selain itu, dia juga ada bercakap tentang muzik bersama saya," ujarnya.

Hazama berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Tri-O bertempat di Traders Hotel, Kuala Lumpur petang semalam.

Tambah Hazama, dia juga sempat memohon maaf pada pengarah itu pada hari yang sama.

"Selain berbual, saya juga sempat memohon maaf andai ada kesilapan sepanjang proses penggambaran filem itu.

"Secara logik, sudah tentu kita akan lakukan kesilapan ketika bekerja.

"Kami juga telah bertukar nombor telefon, tapi malangnya sekarang saya boleh padam sahaja nombor itu kerana dia sudah tiada," katanya lagi.

Dalam Konsert Tri-O, Hazama akan tampil bersama Datuk Hattan dan Azlan Typewritter.

Konsert berprestij itu merupakan sebuah anjuran dari pihak Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre.

Ia bakal berlangsung pada 16 dan 17 November tidak lama lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini, harga tiket dijual pada harga RM99 (C Reserve), RM139 (B Reserve), RM 199 (A Reserve) dan RM299 untuk kategori Premium.

Tiket boleh ditempah menerusi talian 03-23317007, email [email protected] atau menerusi laman web www.mpo.com.my.