Biarpun meraih jutaan tontonan di YouTube selepas dua hari dilancarkan, muzik video Goyang Upin & Ipin mendapat kecaman dalam kalangan warganet.

BACA: Goyang Upin & Ipin Cipta Fenomena, Catat 1 Juta Tontonan Dalam Masa 24 Jam

Dianggap mempromosikan budaya gelek dan dangdut dalam kalangan kanak-kanak, kata pakar motivasi Akhi Fairuz Al-Jengkawi, ia akan memberikan implikasi tidak sihat pada generasi muda.

"Saya tak faham kenapa mempromosi budaya gelek dan dangdut kepada kanak-kanak.

"Banyak lagi tarian di nusantara ni yang lebih sopan dan berbudaya.

"Maaf cakap, video terbaru Upin Ipin ini dah hampir sama level dgn memes dan video yang saya lawan haritu.

"Saya ketengahkan isu ini dengan mengambil kira implikasinya. Kanak-kanak akan buat tarian goyang Upin Ipin di TikTok.

"Dan iya, semalam trending di sana. Siap ada budak perempuan pakai seksi bergelek dengan lagu ini. Ini yang saya lebih risaukan," tulisnya di Twittter.

Tambah seorang pengguna lain, video berkenaan bakal mengundang persepsi liar pedofilia.

"Serius, tak comel pun. Pedofilia kalau tengok ni, confirm otak kuning diorang berfikiran lucah.

"Kanak-kanak akan anggap ni kelakar dan mereka tiru. Lama-lama gelek punggung jadi kebiasaan," tulis @jebatadura.

Bagaimanapun, ada yang memberikan pandangan bahawa video berserta tarian baik untuk perkembangan psikologi kanak-kanak.

"Definisi sopan tu subjektif kpd region/budaya setempat/individu.

"Dulu pun sebabkan keluarga datang daripada ahli usrah, ada doktrin mengajar menari kepada kanak-kanak tadika itu salah.

"Tapi rupanya daripada sudut psikologi, itulah yang baik untuk perkembangan," kata @fathisaif07.



Justeru, ada yang mencadangkan agar memperkasakan lagu tradisional Melayu seperti inang dan zapin selain dangdut.

"Saya lagi setuju kalau dalam Upin & Ipin ada slot menari zapin ke, joget, tarian Mak Yong berasaskan tarian tradisi nusantara.

"Dahla menari tu baik utk psikologi, malah menguatkan jati diri menjaga warisan budaya lagi. Dah baling batu, kena dua burung," tulis @noora_ikhwan.

Di sebalik pandangan ramai, ada yang beranggapan video berkenaan hanyalah strategi pemasaran.

Video Goyang Upin & Ipin meraih 2.4 juta tontonan di YouTube selepas dua hari dilancarkan.