Empat bulan bergelar isteri kepada pemain bola sepak Safawi Rasid, pelakon dan usahawan Syifa Melvin tidak terlepas daripada soalan berkaitan cahaya mata.

Tidak punyai sebarang perancangan, Syifa sebaliknya menyerahkan soal rezeki anak kepada Allah SWT.

"Siapa kahwin tak mahu anak kan, insyaAllah ada rezeki adalah. Doakan yang baik-baik.

"Banyak perubahan selepas berkahwin, tanggungjawab pun bertambah serta berat badan saya pun makin bertambah sebab bahagia kot," kata Syifa.

Syifa ditemui pada majlis pelancaran Kekasih Lebaran 2023 yang berlangsung di Glass House Klang, Selangor baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Syifa kini menetap sementara di Ratchaburi, Bangkok bagi menemani suaminya yang bermain untuk kelab Ratcaburi FC sebaik saja selamat melangsungkan perkahwinan pada 28 November lalu.

Melanjutkan bicara, kata Syifa, dia memberikan sepenuh tumpuan dan fokus terhadap tugasnya sebagai seorang isteri.

"Kehidupan di Ratchaburi okay sebab saya dengan suami sahaja. Memang seratus peratus saya beri perhatian pada dia sahaja.

"Di sana memang saya betul-betul jadi surirumah sepenuh masa.

"Tempat kami duduk tu susah nak cari makanan halal, jadi memang hari-hari saya akan memasak tapi saya okay sahaja sebab memang suka memasak," ujarnya.